Kerajaan Negeri yakin TIA mampu surai trafik sepanjang pembesaran PIA berlangsung – Kon Yeow

Admin

PULAU BETONG – Kerajaan Negeri yakin Kajian Impak Trafik (TIA) mampu menangani masalah kesesakan trafik sepanjang kerja-kerja penaiktarafan dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (PIA) dilaksanakan kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesesakan trafik yang bakal dihadapi sepanjang projek penaiktarafan dan pembesaran PIA yang dijadualkan bermula Mac 2020 dan (dijangka) siap pada tahun 2024.

Jelasnya, TIA merupakan syarat penting sebelum permohonan kebenaran merancang diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 3 Disember lalu.

“Pastinya, pihak MBPP perlu berpuas hati dengan TIA terlebih dahulu sebelum meluluskan permohonan kebenaran merancang lapangan terbang ini.

“Justeru, bagi melancarkan aliran trafik dan mengelakkan kesesakan, syarat-syarat yang terkandung perlulah diikuti semasa kerja-kerja pelaksanaan projek.

“Kalau ikut syarat-syarat yang disyorkan ini, saya percaya masalah trafik dapat diatasi,” ujar beliau ketika diaju pihak media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Politeknik Balik Pulau dekat sini sebentar tadi.

Turut serta, Exco Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain, Azrul Mahathir Aziz (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bayan Lepas) dan Mohd. Hafiz Aswad Nadzri (Pegawai Daerah Barat Daya, DBD).

Semalam, pada sidang media pengumuman pembesaran PIA, Ahs Architects Sdn. Bhd. selaku perunding utama projek memaklumkan bahawa pembesaran PIA melibatkan penambahan dua kali ganda keluasan terminal berbanding 54,000 meter persegi kini.

Pembesaran tersebut sekaligus dijangka mampu menampung sehingga 28 pesawat komersial pada satu-satu masa berbanding hanya 15 pesawat waktu ini.

Mengulas lanjut mengenai syarat-syarat yang disyorkan, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menjelaskan bahawa bulatan (roundabout) berhadapan PIA tidak lagi mampu menerima pertambahan isipadu trafik.

“Mengikut TIA ini, aliran trafik akan ditukar menggunakan pusingan bertingkat berhampiran bangunan The Star di Sungai Tiram dan juga pusingan di pekan Bayan Lepas.

“Sebagai kaedah menyuraikan trafik, kenderaan dari arah Bayan Baru akan menggunakan pusingan bertingkat di Sungai Tiram, manakala kenderaan yang keluar dari PIA tidak lagi boleh menggunakan bulatan sebaliknya membelok ke kiri dan membuat pusingan di pekan Bayan Lepas,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI