Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, pelajar diseru tambah nilai diri selaras peredaran digital

PULAU BETONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi secara holistik adalah faktor penting dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini.

Menyedari hakikat tersebut, ulas beliau, Kerajaan Negeri saban tahun sentiasa meningkatkan usaha serta persiapan untuk menyediakan modal insan dan tumpuan sewajarnya.

“Pulau Pinang amat bergantung kepada modal insan, sebagai sebuah negeri yang mana Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) bergantung kepada sektor pembuatan serta perkhidmatan, maka kita (Kerajaan Negeri) perlu sediakan modal insan bagi menyokong pembangunan ini.

“Rata-rata pelabur akan bertanya sama ada pelaburan mereka dapat disokong oleh modal insan khususnya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

“Bagi menyediakan modal insan berkemahiran tinggi, pelbagai usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri antaranya mewujudkan Biasiswa Penang Future Foundation (PFF) yang mana kini lebih 300 pelajar dalam bidang STEM dan Perakaunan menerima manfaatnya.

“Selain itu, mewujudkan MakerLabs di sekolah-sekolah yang mana buat julung kalinya pada tahun hadapan melalui bantuan kepada sekolah, kita (Kerajaan Negeri) membenarkan institusi-institusi pendidikan berkaitan membuat permohonan pembiayaan bagi mewujudkan makmal-makmal berkenaan.

“Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri menjangkakan hampir 100 sekolah akan menerima manfaat peruntukan ini pada tahun 2020,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sesi September 2019 di sini tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussein; Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas) dan Hafiz Aswad Nadzri (Pegawai Daerah Barat Daya).

Pada majlis berkenaan, Kerajaan Negeri menyalurkan sejumlah RM299,400 peruntukan kepada 302 pelajar dari Daerah Barat Daya (DBD) yang berjaya diterima mengikuti pengajian ke peringkat diploma dan ijazah di seluruh negara.

Seramai enam pelajar yang akan melanjutkan pengajian di Politeknik menerima sumbangan RM300, manakala 296 pelajar lain menerima RM1,000 bagi institusi pengajian tinggi (IPT) Semenanjung Malaysia dan RM1,200 (IPT Sabah dan Sarawak).

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah dan Hal Ehwal Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyeru para pelajar untuk melengkapkan diri dengan kemahiran digital.

Menurut beliau, tiga perkara yang dapat menjadikan seseorang pelajar berkemahiran tinggi adalah kemahiran digital, semangat keusahawanan serta keupayaan untuk menerima ilmu baharu.

“Walau apa jua bidang pendidikan dan pengkhususan yang kita terima di peringkat diploma mahupun ijazah, itu adalah ilmu yang kita peroleh.

“Tetapi untuk menjadi seseorang yang lebih maju berbanding insan lain adalah keupayaan kita untuk sentiasa mencari tambah nilai dalam diri, perbanyakkan kemahiran digital, berusaha tambah ilmu serta semangat keusahawanan,” ujarnya lanjut.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI