Kerajaan PR bantu tanpa kira fahaman politik

Admin

BUTTERWORTH Bantuan yang disampaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah memilih latar belakang politik sebaliknya terus kepada mereka yang memerlukan, tegas Timbalan Ketua Menteri I, Dr. Mansor Othman.

Mansor berkata, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan kepada sesiapapun tanpa mengira latar belakang politik, jantina mahupun agama. Malah, semua bantuan yang disalurkan adalah atas dasar kemiskinan berbanding di era kepimpinan UMNO sebelum ini.

”Pusat Urus Zakat (PUZ) akan memberikan bantuan kepada mereka yang mengalami kesukaran hidup atau mempunyai keluarga yang daif.

“Inilah prinsip Kerajaan Pakatan Rakyat berlainan dengan apa yang dipraktikkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang asyik mementingkan politik sempit sehingga sanggup membiarkan orang Melayu berada di paras kemiskinan bagi menyenangkan mereka (BN) memperoleh publisiti menerusi saluran bantuan ketika adanya pilihan raya kecil ataupun umum,” katanya pada majlis Penyerahan Kunci Kepada Pemilik Rumah PUZ di Jalan Mengkuang, di sini.

Pada majlis tersebut, sembilan mangsa bencana alam membabitkan kawasan Jalan Mengkuang, Penaga dan Bayan Baru telah memperoleh peruntukan hampir RM200,000 untuk membaiki kerosakan kediaman masing-masing. Bantuan tersebut termasuk dua rumah sumbangan PUZ yang bernilai RM33,000 setiap sebuah bagi menggantikan rumah mangsa kebakaran pada penghujung tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah PUZ Negeri Pulau Pinang, Dr. Azman Abdul Samat memberitahu, bantuan yang disalurkan adalah berdasarkan mengikut kos kerugian masing-masing.

“PUZ memberikan rumah beranggaran RM33,000 dengana keluasan 20 x 34 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur. Antara sumbangan-sumbangan lain adalah berbentuk wang tunai bernilai RM6,000, RM5,000 dan RM2,000,” ujar beliau.

Turut serta di dalam program tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Ellias Zakaria, Timbalan Maipp, Ustaz Saleh Man dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd. Farid Arshad.