P. Pinang terajui hak kebebasan bersuara

Admin
AHLI-ahli persidangan tidak melepaskan peluang bergambar bersama Ketua Menteri pada Citizen Journalists Conference yang berlangsung di Hotel Royal baru-baru ini
AHLI-ahli persidangan tidak melepaskan peluang bergambar bersama Ketua
Menteri pada Citizen Journalists Conference yang berlangsung di Hotel Royal
baru-baru ini

GEORGE TOWNCitizen Journalists Conference (CJMY) yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Royal di sini baru-baru ini menjadi platform tepat kepada para wartawan untuk berkumpul, berbincang dan bertukar pendapat sejajar dengan berkembangnya arus media massa kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, wartawan memainkan peranan penting untuk dimainkan dalam dunia kewartawanan.

“Wartawan adalah penghubung dengan masyarakat. Mereka (wartawan) mestilah menghasilkan kandungan berita yang penuh sifat kemanusiaan, profesionalisme dan penuh integriti.

“Ada pepatah mengatakan bahawa mata pena itu lebih tajam daripada sebilah pisau. Oleh demikian, wartawan mestilah mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat umum dengan memaparkan kebenaran,” katanya pada Majlis Pelancaran Citizen Journalists Conference(CJMY) di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, Pulau Pinang menerajui negeri-negeri lain pada aspek kebebasan bersuara yang merupakan hak asasi setiap manusia dan setiap rakyat di negara ini.

“Kebebasan bersuara di Pulau Pinang terbukti dengan terbentuknya Speaker Square di Padang Kota Lama sejak Mei 2010, malah, kita (Kerajaan Negeri) berbangga menyatakan bahawa di Pulau Pinang bukan sahaja kebebasan bersuara tetapi kebebasan selepas bersuara itu adalah lebih penting.

“Pulau Pinang menyaksikan bilangan tertinggi bantahan yang disuarakan (dalam negara) sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2008. Tetapi, Kerajaan Negeri membiarkan mereka untuk menyuarakan rasa tidak puas hati selagi ianya dilakukan dalam keadaan dan suasana aman,” ujar Guan Eng.

Oleh demikian, beliau berharap CJMY dan generasi baru pengumpul berita dapat menjadi sebuah gerakan yang berani, boleh dipercayai, benar serta menjadi akar umbi supaya kebebasan akhbar boleh berkembang untuk kebaikan negara.