Kerja-kerja fizikal Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang diharap bermula secepat mungkin – Jagdeep

Admin

DATUK KERAMAT – Kerajaan Persekutuan diharap dalam memulakan kerja-kerja fizikal Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang secepat mungkin menjelang Disember ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, projek tersebut telah ditunda begitu lama sejak tahun 1999 sehingga menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan lebat ataupun air pasang besar.

Jelasnya, kawasan berhampiran Sungai Pinang bukan sahaja mengalami banjir apabila hujan lebat tetapi ketika air pasang besar dan terbaru kejadian banjir kilat yang berlaku pada 12 Mei baru-baru ini.

“Dalam Belanjawan 2017, Kerajaan Persekutuan telah menyatakan komitmen untuk memperuntukkan sejumlah RM150 juta untuk pelaksanaan projek ini.

“RM1 juta daripada kos tersebut telah diberikan kepada pihak perunding, di mana kerja-kerja perundingan telah bermula dan sepatutnya selesai Jun ini… tetapi disebabkan keadaan politik semasa dan pandemik COVID-19 kini, semuanya mungkin tidak mengikut seperti yang telah dirancang.

“Oleh itu, harapan saya jika ia (projek) ditangguhkan pun jangan terlalu lama kerana keperluan penaiktarafan projek ini amat penting sekali,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Jagdeep sebelum itu menyerahkan sumbangan 100 hamper barangan makanan asas kepada kariah Masjid Sheikh Eusoff di sini untuk diagihkan kepada penduduk sekitar menjelang Syawal nanti.

Hadir sama Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer, Ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dan Pengerusi Kariah Masjid Sheikh Eusoff, Yusof Yacob.

Sementara bagi mengurangkan impak banjir yang lebih teruk ketika musim hujan kini, Jagdeep memberitahu bahawa pihaknya telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meningkatkan kerja-kerja pembersihan parit dan saluran bawah tanah.

“Akibat daripada musim kering yang lama, parit dan saluran sedia ada mungkin sudah mendap dengan tanah, selut dan daun-daun kering, justeru saya telah mengarahkan kedua-dua PBT untuk melakukan kerja pembersihan secara berkala dan jika perlu ditingkatkan,” ujarnya.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF