Kerja naik taraf jalan dalam KADUN Jawi selesai, penduduk kini nikmati hidup lebih selesa

Admin

JAWI – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi kini menikmati kehidupan  lebih selesa selepas kerja-kerja menaik taraf longkang dan penurapan jalan kini selesai sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, H’ng Mooi Lye berkata, jalan-jalan yang diturap semula termasuk jalan sedia ada di Perkampungan Jawi, Jalan Sayur Kampung Changkat dan jalan di tepi landasan kereta api Sungai Jawi.

Malah katanya, Jalan Sungai Daun serta longkang di Jalan 2 dekat Kampung Bagan Buaya Changkat, Nibong Tebal juga telah dinaik taraf dengan kos keseluruhan bagi projek-projek berkenaan adalah berjumlah RM227,541.60.

“Saya harap dengan siapnya penurapan jalan-jalan di kampung yang terlibat akan memberi manfaat kepada orang ramai, terutamanya bagi mereka yang sentiasa melalui jalan-jalan ini.

“Begitu juga pembinaan longkang di Jalan 2 dekat Kampung Bagan Buaya akan melegakan penduduk kerana banjir kilat yang kerap berlaku semasa berlaku hujan lebat kini dapat dielakkan,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna Perkampungan Jawi di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Moon Lye juga memaklumkan, kerja-kerja menaik taraf turut melibatkan dua lagi jalan yang menggunakan peruntukan ADUN sebanyak RM14,000 iaitu jalan bersebelahan gelanggang bola keranjang Perkampungan Jawi sebanyak RM4,000 dan jalan di Kampung Bagan Buaya (RM10,000).

“Saya terima aduan dan pandangan berkaitan keadaan jalan-jalan di sini yang boleh mengancam keselamatan penduduk pada kempen pilihan raya lalu.

“Oleh itu, selepas pilihan raya kita membuat permohonan dan telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Daerah untuk menurap jalan-jalan ini.

“Sebagai Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat kita sentiasa mendengar pandangan dan aduan daripada stakeholder (penduduk) untuk terus memberikan khidmat yang terbaik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) kampung berkenaan, Ching Swee Peng mohon kepada pihak berkuasa berkaitan untuk membina beberapa bonggol jalan (hump) di jalan-jalan yang telah dinaik taraf demi keselamatan penduduk.

“Selepas jalan-jalan ini siap diturap, kita (JKKK) terima aduan daripada penduduk berkaitan masalah memandu terlalu laju terutamanya bagi pemandu motosikal sehingga mendatangkan bahaya kepada penduduk,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD