Pertanian enjin pembangunan negara ketiga – TKM1

BERTAM – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan senantiasa menjadi pemudahcara kepada golongan peladang, petani, penternak dan nelayan, demi menggalakkan penggeluaran hasil di negeri ini.

“Ini adalah memandangkan sektor pertanian kini diiktiraf sebagai enjin pembangunan negara yang ketiga.

“Kerajaan sedar akan kepentingan sektor pertanian kepada pembangunan negara dan telah mengangkat martabat sektor ini dengan meletakkan sektor pertanian sebagai the third engine of national growth,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Peladang Negeri Pulau Pinang di Hotel Seri Malaysia dekat Kepala Batas di sini tadi.

Menurutnya, ketika ini, pertumbuhan paling tinggi dalam sektor pertanian adalah melibatkan pengeluaran ayam, itik, sayur, akaukultur dan buah-buahan.

Justeru, Ahmad Zakiyuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal menyatakan bahawa pihak Kerajaan percaya sektor pertanian dapat menjadi penyumbang pada pencapaian status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun depan.

Selain itu, tambah beliau, Pulau Pinang mempunyai kawasan tanaman padi seluas 12,783 hektar (ha) termasuk dalam dan luar jelapang, menyumbang 25 peratus keluasan padi di seluruh negara.

“Saya difahamkan purata pencapaian hasil metrik tan per ha juga adalah memberangsangkan iaitu 6 metrik tan/ha ke atas,” jelasnya sambil menegaskan bahawa sektor pertanian adalah penting demi memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Ahmad Zakiyuddin turut memberitahu bahawa kegigihan kira-kira 12,000 anggota Persatuan Peladang Negeri Pulau Pinang terlibat dalam pengeluaran hasil dalam sektor tersebut, sekaligus menyumbang kepada perkembangan sektor perniagaan serta industri pertanian negara.

Sebelum itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang, Datuk Ismail Umar berkata, pihaknya telah menyatakan hasrat kepada Menteri Pertanian, Datuk Salahudin Ayub, supaya segala subsidi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu diteruskan kini.

Justeru, Ismail berharap pentadbiran Ahmad Zakiyuudin turut membawa mesej sama berhubung isu subsidi pertanian kepada pucuk pimpinan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang, Hadriyani Ahmad; Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang, Abdul Razak Mat Yusoff dan Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri, Zulkifli Muhammad turut sertai majlis perasmian pembukaan mesyuarat agung tahunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.