Kerjasama erat antara agensi banyak bantu lincinkan urusan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada Panglima Markas 2 Divisyen (2 Div) Kem Tun Razak, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad di pejabatnya dekat Komtar sebentar tadi.

Pertemuan selama kira-kira 20 minit itu membincangkan isu-isu berkaitan langkah penguatkuasaan oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan penularan pandemik COVID-19.

Turut dibangkitkan adalah mengenai cadangan penempatan semula kawasan Lapang Sasar Sungai Dua yang dikatakan telah mengganggu dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pelaksanaan PKPB di negeri Pulau Pinang sejak 9 November 2020 dilihat lebih terkawal berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Menurut beliau, kerjasama erat yang terjalin di antara agensi-agensi kerajaan sejak berlakunya krisis pandemik COVID-19 telah banyak membantu dalam usaha melicinkan urusan pelaksanaan PKPB di negeri ini.

Difahamkan, Arman Rumaizi telah memulakan tugas sebagai Panglima 2 Divisyen yang baharu selepas dinaikkan pangkat sejak 1 Oktober 2020.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KON KUAN