Kes curi logam penutup tiang lampu serius

Admin
KEPINGAN besi yang dicuri menyebabkan pendawaian elektrik terdedah dan mengundang bahaya awam
KEPINGAN besi yang dicuri menyebabkan
pendawaian elektrik
terdedah dan mengundang bahaya
awam

BAYAN LEPASKepingan besi penutup tiang-tiang elektrik yang hilang dicuri mendapat perhatian khas Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim ekoran ia membabitkan keselamatan awam.

Iszuree berkata, perkara tersebut perlu diberikan perhatian serius kerana ia mendatangkan bahaya kepada orang ramai terutamanya kanak-kanak.

“Saya memandang serius perkara ini apabila terdapat kes kecederaan membabitkan seorang kanak-kanak terkena renjatan elektrik ekoran pendawaian yang terdedah pada tiang lampu dilaporkan di sini baru-baru ini,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Iszuree memberitahu bahawa beliau akan sedaya-upaya membawa perkara tersebut kepada Jawatankuasa Infra MPPP untuk diberi perhatian sewajarnya.

“Ini adalah kerana ianya bukan sahaja melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, tetapi hampir keseluruhan penutup tiang-tiang lampu di sini telah hilang.

“Akibat sikap tamak segelintir pihak yang ingin mengaut keuntungan dengan jalan mudah, ia telah menyebabkan orang awam terdedah kepada bahaya,’’ tegas beliau.