KM utus surat gesa Pengerusi MSAN segera tangani ‘Super El Nino’ babit 4 negeri

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi digesa campur tangan dalam isu kekurangan air mentah yang akan menjejas kirakira empat juta penduduk utara Semenanjung Malaysia, susulan fenomena ‘Super El Nino ‘ sehingga bulan Jun depan.

Gesaan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng itu disampaikan dalam satu surat rasmi bertarikh 21 April lalu kepada Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sumber Air Negara (MSAN).

“Simpanan (air mentah) di Empangan Muda dan Empangan Beris (dekat Kedah) hanya boleh bertahan sehingga minggu ketiga bulan Mei 2016.

“Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi telah menyatakan bahawa fenomena ‘Super El Nino’ akan berterusan sehingga Jun 2016.

“Simpanan empangan kami (di Pulau Pinang) hanya akan ‘pulih’ jika terdapat hujan yang mencukupi,” katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Dalam surat itu, Guan Eng menggesa semua aktiviti pengairan ditangguhkan terutama di selatan Kedah sehinggalah hujan lebat tiba.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan turut menggesa MSAN supaya mempergiatkan operasi pembenihan awan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.

Dalam perkembangan berasingan, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut meninjau keadaan sistem pengairan di Pulau Pinang memandangkan krisis kemarau ‘Super El Nino’ tersebut berlarutan sejak awal tahun ini.

Afif yang juga ADUN Seberang Jaya memberitahu, paras bekalan air mentah di negeri ini dalam keadaan ‘baik’ susulan berlaku hujan baru-baru ini.

Ekoran itu, tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri mulai membekalkan air secara berperingkat ke beberapa kawasan pertanian, meliputi kelima-lima daerah di Pulau Pinang.

“Cuma, kita tidak ada kepastian sama ada pada beberapa minggu akan datang, bekalan air mentah itu mencukupi atau tidak.

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri) mulakan perbincangan dengan para petani kerana buat masa sekarang, kita tidak dibenarkan melakukan pengairan,” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dekat Tapak Ekspo Seberang Jaya baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa ada mengemukakan empat langkah mendepani krisis air di keempat-empat negeri.

Syor itu, katanya, sebagai respons kepada kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang dilaporkan menyatakan bahawa Pulau Pinang harus bertanya Pihak Berkuasa Negeri (PBN) Kedah untuk syor melepaskan lebih banyak air ‘melalui saluran yang betul’ dan bukannya melalui kenyataan akhbar.

Mengulas lanjut, Jaseni memberitahu, pentadbiran Kedah seakan mempunyai anggapan yang salah mengenai syor PBN Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan berhubung isu berbangkit ini.

“Pulau Pinang tidak meminta Kedah melepaskan lebih banyak air (mentah), kami meminta Kedah melepaskan kurang air.

“Sebab itu, kita meminta penangguhan aktiviti pengairan (kerana) tanpa aktiviti pengairan, Empangan Muda dan Empangan Beris di Kedah boleh melepaskan kurang air ke Sungai Muda seperti biasa, hanya untuk memenuhi bekalan air yang diperlukan oleh penduduk di Kedah serta Pulau Pinang.

“Dengan langkah ini, kita boleh memanjangkan tempoh rizab bekalan air mentah di Empangan Muda dan Empangan Beris untuk bertahan lebih lama ekoran ‘Super El Nino’ ini,” ujar beliau.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);