Ketua Hakim Syarie syukur integriti diiktiraf, kompleks mahkamah dibina

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Yusof Musa yang dipilih menerima Hadiah Integriti sulung Pulau Pinang kerana membongkarkan penyelewengan RM500,000 membabitkan seorang kakitangan Mahkamah Syariah sekaligus menyerlahkan insiatif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan polisi Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sendiri yang menyerahkan sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000 atas keberanian Yusof membongkarkan penyelewengan membabitkan bayaran balik bon jaminan di Mahkamah Syariah.

Yusof, 52, yang ditemui Buletin Mutiara baru-baru ini melahirkan rasa terima kasih atas sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap menyemarakkan budaya integriti di negeri berkenaan.

YUSOF Musa.
YUSOF Musa.

“Ini (pelantikan sebagai Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang) adalah amanah yang suatu hari nanti akan dihitung oleh Allah.

“Bukan anugerah yang saya cari, tetapi amanah kita dengan Allah,” ujarnya,” ujarnya di George Town di sini.

Yusof memulakan perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Mahkamah Syarie Pulau Pinang pada Februari 2009.

Beliau menjelaskan, unsur penyelewengan mulai disedarinya apabila menyemak sistem fail mahkamah.

“Pada hari ke-16, saya mula berkhidmat di sini (Pulau Pinang), saya lihat ada sesuatu yang tidak kena pada (sistem) fail.

“Ada (pelanggan) yang dibayar sampai RM7,000 bon jaminan sedangkan kadar maksimum (bon jaminan) apa jua kes hanya RM5,000 sahaja.

“Dari situ, saya mula teliti baucer (bon jaminan) yang dikeluarkan dan memanggil kakitangan yang disyaki,” ujar beliau.

Pendedahan itu kemudiannya dilaporkan pada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Manakala, suspek pecah amanah tersebut telah dilarang oleh Yusuf sendiri untuk melakukan tugas-tugas kewangan di jabatannya sehingga siasatan lanjut selesai.

Yusof dalam nada rendah diri berharap insiden tersebut akan diteladani oleh penjawat awam lain dan rakyat di negeri berkenaan.

LAKARAN artis kompleks baru tujuh tingkat Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang.
LAKARAN artis kompleks baru tujuh tingkat Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang.

Dalam perkembangan yang sama, Yusof turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana meluluskan permohonan 3.5 ekar tanah di Jalan Batu Gantung untuk didirikan Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang di Jalan Batu Gantung/Jalan Scotland di sini.

“Kerajaan Negeri di bawah Y.A.B Tuan Lim Guan Eng (Guan Eng) meluluskan 3.5 ekar tanah manakala pusat beri peruntukan RM36.5 juta.

“Kalau boleh, mahkamah syariah kita ini menjadi aras tanda terbaik dari segi prasarana dan budaya pengurusan bagi negeri-negeri lain kelak.

“Dengan kompleks ini, banyak masalah boleh diselesaikan,” ujar beliau.

Dengan pembinaan kompleks tersebut dan budaya integriti Yusof yang dihargai sekaligus menjadi satu lagi rekod Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memelihara kedudukan Islam di negeri berkenaan.

YUSOF Musa (tiga dari kanan), Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus (kiri sekali) bersama Ketua Menteri dan barisan kepimpinan negeri ketika mengadakan lawatan tapak Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
YUSOF Musa (tiga dari kanan), Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus (kiri sekali) bersama Ketua Menteri dan barisan kepimpinan negeri ketika mengadakan lawatan tapak Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.