Guan Eng gesa Najib perjelas status tanah KGNS diseleweng

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

KUALA LUMPUR – Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa mendedahkan status 330 ekar tanah Kelab Goft Negara Subang (KGNS) bernilai lebih RM5 bilion yang didakwa bakal dirompak oleh kroni-kroni UMNO sendiri.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, Najib yang juga Presiden UMNO wajar mendedahkan butiran-butiran berwajib kepada rakyat Malaysia sekiranya benar dakwaan tersebut.

“Kalau ‘ya’, beliau harus mendedahkan butiran-butiran kepada pihak awam. Kalau tidak, segala tranformasi yang diuar-iarkan akan dibuktikan sebagai sembang kosong,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, isu tersebut dilihat berpontensi sebagai satu lagi “penlanunan” yang sinonim dengan gejala kapitalisme dalam kalangan kroni-kroni Barisan Nasional (BN).

Isu status tanah KGNS jadi perhatian apabila ahli industri, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Sunway Berhad disebut-sebut berminat dengan tanah berkomersial tinggi itu.

Perspective Lane (M) Sdn. Bhd. yang dikuasai oleh adik beradik Syed Mokhtar dan Sunway City Sdn. Bhd. dikhabarkan telahpun menyerahkan pelan penswastaan kepada pentadbiran Najib pada akhir tahun lepas.

Presiden KGNS, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas bagaimanapun menafikan desas-desus tersebut.

Pun begitu, penafian Megat Najmuddin menggamit pelbagai tanda tanya lain, seperti kedudukannya sendiri sebagai Pengerusi merangkap Pengarah bebas Tradewinds Corp. yang dikenal pasti mempunyai hubungan serta kepentingan dengan Syed Mokhtar.

Malah, Megat Najmuddin dilaporkan berkata, penjualan tanah tersebut bakal menjadi “pembunuh politik” atas alasan kelab itu diasaskan oleh Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman melalui akta Parlimen pada 1960.

KGNS, yang tidak mempunyai pajakan mutlak ke atas tanah, sekarang sedang mempertahankan diri daripada tuntutan mahkamah yang dibuat Suruhanjaya Tanah Persekutuan untuk memindahkan tanah itu yang dibuat pada 2004.

KGNS telah diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama Tunku sebagai lokasi kakitangan kerajaan boleh bergaul dengan masyarakat dan institusi bersejarah buat mereka yang membesar di Petaling Jaya.

Perkembangan terbaru itu sekaligus seakan menyerlahkan wajah sebenar pentadbiran Najib yang dilihat gemar merampas tanah rakyat, termasuk milik Melayu.

“Bukan sahaja orang China, Iban, Kadazan, Orang Asli dan India, tetapi orang Melayu juga menjadi mangsa kepada rampasan tanah 1Malaysia,” sindir Guan Eng.