Ketua Menteri saran program Sukarelawan Belia ditambah baik, sokong matlamat Visi Penang2030

Admin
img 20250705 wa0031

GEORGE TOWN – Seramai 121 Sukarelawan Belia Pulau Pinang menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri atas jasa dan sumbangan mereka kepada masyarakat di negeri ini.

Daripada jumlah itu, seramai 52 sukarelawan menerima Anugerah Prihatin, Anugerah Bakti (32), Anugerah Inspirasi (14), Anugerah Dedikasi (8), Anugerah Cemerlang (5) dan Anugerah Gemilang (9), manakala seorang sukarelawan, Ooi Yan Xiang telah dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana selepas berkhidmat lebih 233 jam setahun.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam Majlis Apresiasi Belia Pulau Pinang Tahun 2025 yang berlangsung dekat sini sebentar tadi.

Semasa berucap, Kon Yeow menyarankan agar program Sukarelawan Belia yang kini memasuki tahun kelima ditambah baik lagi supaya lebih kukuh dan bermakna, di samping mampu menyokong Visi Penang2030.

“Para sukarelawan merasakan program Sukarelawan Belia Pulau Pinang sebagai platform untuk membantu mereka membina jati diri dan membolehkan mereka menyumbang kepada masyarakat.

“Selain itu, melalui program ini juga mereka boleh tampil membantu masyarakat sekiranya berlaku sebarang bencana seperti banjir dan sebagainya termasuk ketika Pulau Pinang berdepan masalah bekalan air akibat paip pecah pada tahun lepas,” katanya.

img 20250705 wa0028
Ooi Yan Xiang dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana selepas berkhidmat lebih 233 jam setahun.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima merangkap Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Connie Tan Hooi Peng; ADUN Padang Kota, Wong Yuee Harng; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sebagai menyokong program pembangunan Sukarelawan Belia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM210,000 menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan akhir tahun lepas.

“Bukan setakat itu sahaja, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM700,000 melalui PYDC bagi pelaksanaan inisiatif strategik di bawah Rangka Kerja Pembangunan Belia Strategik 2024-2028 dengan memfokuskan pembangunan kapasiti belia serta penglibatan komuniti.

img 20250705 wa0023img 20250705 wa0020img 20250705 wa0030img 20250705 wa0027

“Malah, di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan bersama-sama PYDC, diwujudkan Pusat Belia yang bertujuan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan anak-anak muda setempat serta menyediakan ruang untuk golongan berkaitan mengekspresikan idea segar dalam memacu pencapaian Visi Penang2030.

“Justeru, saya menyeru kepada anak muda untuk membuktikan keupayaan dengan melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai program termasuk (program-program) anjuran PYDC seperti Penang Youth Volunteer, Sidang Muda, Belia Untuk Masa Depan dan program kemasyarakatan yang lain,” serunya.

Dalam pada itu, Zi Sen menyatakan bahawa Program Sukarelawan Belia Pulau Pinang telah merekodkan pencapaian yang amat membanggakan sejak ditububuhkan pada tahun 2020.

“Antara pencapaian tersebut adalah jumlah penyertaan Sukarelawan Belia kini mencecah 8,000, selain penglibatan aktif mereka dalam pelbagai aktiviti yang memberi impak nyata, bukan sahaja kepada komuniti, malah juga pembangunan diri setiap sukarelawan itu sendiri.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri komited untuk terus menyokong dan memperkukuh platform ini kerana kami percaya belia yang berjiwa sukarelawan adalah aset utama dalam membina negeri yang sejahtera, progresif serta berdaya tahan,” ujarnya.

Menjawab soalan pemberita dalam sidang media selepas itu, Zi Sen menafikan bahawa Sukarelawan Belia akan dimanfaatkan sebagai jentera pilihan raya pada masa akan datang.

“Kita tegaskan bahawa ini merupakan program sukarelawan di bawah agensi Kerajaan Negeri dan bukannya jentera pilihan raya,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING