GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu kenyataan rasmi daripada kerajaan Amerika Syarikat berhubung rancangan negara itu untuk mengehadkan penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) ke Malaysia dan Thailand.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa setakat ini belum ada sebarang pemgumuman rasmi telah dikeluarkan sama ada oleh kerajaan Amerika Syarikat mahupun kerajaan Malaysia.
“Saya percaya, dalam tempoh ini, kita (Kerajaan Negeri) masih menerima pertanyaan berhubung dengan peluang-peluang pelaburan.
“Oleh itu, kita memerlukan satu keputusan jelas mengenai tarif yang akan dikenakan (ke atas Malaysia) sebelum keputusan-keputusan komersial diambil oleh para pelabur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah kepada Sukarelawan Belia dekat sini sebentar tadi.
Walau bagaimanapun, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan memantau rapi perkembangan tersebut memandangkan Pulau Pinang merupakan hab semikonduktor terkemuka dunia.
“Kita sentiasa serius memantau apakah impak cadangan ini kepada Malaysia termasuk Pulau Pinang memandangkan kita merupakan semikonduktor yang penting.
“Tambahan pula, cip menjadi bahan yang penting dalam pembangunan teknologi AI di seluruh dunia,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump merancang untuk menyekat penghantaran cip AI daripada syarikat seperti Nvidia ke Malaysia dan Thailand.
Menurut laporan itu lagi, langkah tersebut adalah sebagai sebahagian daripada usaha untuk membanteras penyeludupan semikonduktor yang disyaki masuk ke China.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING