GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat dua Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu di sini sebentar tadi.
Mohamed Abdul Rahman ditaklifkan sebagai Timbalan Setiausaha (Pembangunan) bagi menggantikan Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria, sementara Muhamad Ghopran Yeop Hamzah pula dilantik sebagai Timbalan Setiausaha (Pengurusan) bagi menggantikan Dato’ Abdul Kahar Abdullah.
Antara intipati pertemuan sulung tersebut adalah meliputi beberapa projek infrastruktur utama negeri seperti Projek Air Perak-Pulau Pinang, Silicon Island dan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Berkhidmat selama 29 tahun dalam sektor perkhidmatan awam, Mohamed, 55, yang ditemui kemudian memberitahu bahawa beliau sebelum ini berkhidmat di Jabatan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Ini, merupakan tempat ke-12 saya berkhidmat… pada tahun 1998 hingga 2001, saya pernah berkhidmat di Jabatan Laut Wilayah Utara dekat Gelugor.
“Saya nampak Ketua Menteri sangat komited dengan projek pembangunan, Alhamdulilah saya sendiri ada sedikit pengalaman dalam sektor pembangunan.
“Jadi, misi saya adalah untuk membantu proses menjajarkan semula projek-projek pembangunan (yang melibatkan Kerajaan Persekutuan) supaya mengikut kehendak Kerajaan Negeri hari ini,” jelasnya yang juga anak kelahiran negeri Pulau Pinang seusai kunjungan rasmi berkenaan.

Sebelum itu, Muhamad Ghopran, 50, memberitahu bahawa beliau merupakan Pegawai Daerah dan Tanah Bagan Datuk, Perak.
“Dalam perjawatan sudah 25 tahun, selepas bertemu dengan Y.A.B. Ketua Menteri, saya melihat beliau menyokong penuh segala usaha melicinkan bahagian pengurusan Kerajaan.
“Saya berharap dapat menumpahkan khidmat sebaik mungkin bersama-sama Kerajaan Negeri hari ini, saya akan cuba yang terbaik untuk rakyat di negeri ini,” ujarnya yang merupakan anak jati Parit, Perak.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN