GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada petang tadi menerima kunjungan hormat perpisahan Pengurus Besar TNB Negeri Pulau Pinang, Ir. Ts. Norhizami Abu Hasan.
Pengurus Pemegang Taruh TNB Pulau Pinang, Mohd. Alwi Mohd. Nadzir turut sertai kunjungan hormat tersebut di Pejabat Ketua Menteri, Komtar.
Selama hampir 40 minit, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi diberi taklimat mengenai usaha TNB selama dua setengah tahun belakangan ini dalam memelihara kualiti bekalan tenaga khusus ke kawasan-kawasan perindustrian demi memenuhi permintaan pelabur ke negeri ini.
Norhizami yang ditemui kemudian memberitahu bahawa beliau mula bertugas di Pulau Pinang sejak Januari 2023, dan akan ke tempat kerja baharu dekat Melaka dan Negeri Sembilan pada 11 Julai ini.
“Secara asasnya, dalam tempoh dua setengah tahun ini, projek pemasangan meter pintar bermula pada bulan Jun 2022, telah mencapai 67 peratus yang mana pelaksanaannya mengikut jadual dan disasarkan siap pada hujung bulan Disember 2025.
“Selain itu, kita (TNB) berjaya melaksanakan projek sambungtara talian atas (monopole) sepanjang 8.5 kilometer (km) yang membawa 2,000 megawatt (MW) kapasiti tambahan tenaga elektrik dari tanah besar Seberang Perai ke bahagian pulau, untuk kestabilan tenaga di sini.
“Pencapaian ketiga di Pulau Pinang adalah dari segi Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI),” jelasnya kepada Buletin Mutiara seusai pertemuan berkaitan.
Mengulas lanjut, Norhizami menyatakan bahawa TNB Pulau Pinang telah memperoleh kerjasama sangat baik (yang mana) di bawah pentadbiran Ketua Menteri.
“Saya sendiri berasa kita seperti ‘keluarga’ walaupun TNB ini adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Saya berharap pentadbiran Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus cemerlang di bawah Visi Penang2030 dan senantiasa menjadi contoh kemajuan bagi negeri-negeri lain,” ujarnya lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN