GEORGE TOWN – Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih stabil dan tidak memerlukan bajet tambahan buat masa ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa keadaan kewangan negeri kekal sihat selagi kos perbelanjaan dapat dikawal dan hasil negeri dikutip seperti yang diramalkan.
“Setakat ini kewangan Kerajaan Negeri masih sihat dan dalam keadaan surplus,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Penamaan Persiaran Chin Fung Kee dekat The Light City, di sini sebentar tadi.
Walau bagaimanapun, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mengawal kos serta mempertimbangkan beberapa langkah termasuk melambatkan pelaksanaan projek-projek yang masih belum ditawarkan.
“Dalam tempoh ini, kontraktor juga berdepan kesukaran untuk membida projek berikutan peningkatan kos, jadi ini antara langkah yang dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri sehingga keadaan ekonomi kembali stabil.
“Apabila keadaan ekonomi kembali pulih, kerja-kerja tersebut boleh ditawarkan semula, sementara projek yang telah berjalan akan diteruskan seperti yang telah dijadualkan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Mengulas lanjut mengenai permintaan kontraktor untuk mengurangkan beban kos, Kon Yeow mengakui bahawa terdapat permintaan sedemikian, khususnya melibatkan projek di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Beliau memberitahu bahawa pihak PDC telah mengadakan rundingan bersama kontraktor berikutan kenaikan harga diesel yang menyumbang kepada peningkatan kos projek.
“PDC telah membuat keputusan untuk berkongsi beban bersama kontraktor bagi meringankan impak kenaikan kos.
“Hal ini bermakna, PDC akan menanggung sebahagian daripada peningkatan kos akibat ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Turut serta dalam sidang media tersebut ialah Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS