GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara rasmi menamakan semula Persiaran Pantai Sinaran dekat The Light City, Gelugor di sini kepada Persiaran Chin Fung Kee.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, langkah menamakan semula jalan tersebut merupakan simbol penghormatan tertinggi kepada mendiang Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Ir. Chin Fung Kee atas jasa dan sumbangan besarnya dalam bidang kejuruteraan serta pembangunan negeri dan negara.
Menurut beliau, keputusan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 25 Februari 2026 sebagai pengiktirafan terhadap legasi tokoh berkenaan yang tidak ternilai.
“Jasa mendiang Chin Fung Kee sama sekali tidak boleh dinafikan dan telah terpahat dalam sejarah Pulau Pinang serta Malaysia.
“Sumbangan beliau amat signifikan, khususnya dalam mereka bentuk pembinaan Jambatan Pulau Pinang, kerja pembaikan asas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) serta penglibatan dalam penubuhan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,” katanya pada Majlis Perasmian Penamaan Semula Jalan tersebut di sini sebentar tadi.



Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital merangkap Pengerusi Jawatankuasa Negeri Nama Geografi (JNNG) Pulau Pinang, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Tan Hooi Peng; Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Dato’ Ts. Azizee Ismail dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran.
Turut hadir, ahli keluarga mendiang, Kathleen Chin Kie Fong; Dr. Alan Chin Kie Loong; Liew Chiew Ean dan Peter Chin Kie Siew; Presiden The Institution of Engineers Malaysia (IEM), Ir. Yau Chau Fong dan Pengurus Besar Kanan IJM Land Wilayah Utara, Dato’ Ir. Khoo Teck Chong.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa kepakaran mendiang turut mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa melalui pengenalan ‘Chin Method’ yang merevolusikan industri cerucuk, selain inovasi galas getah asli untuk ketahanan seismik yang kini digunakan di seluruh dunia.
“Inovasi tersebut bukan sahaja menjimatkan kos dan masa, malah membuka pasaran baharu kepada industri getah asli Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menegaskan bahawa sumbangan mendiang bukan sahaja terhad kepada pembangunan fizikal, malah meliputi kemajuan akademik serta kepimpinan dalam pelbagai organisasi profesional termasuk IEM, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Majlis Komanwel.



Katanya, kecemerlangan mendiang turut diiktiraf pada peringkat global melalui pelbagai anugerah dan penghormatan, termasuk pelantikan sebagai Felo Kehormat institusi kejuruteraan di United Kingdom dan Malaysia, serta penerimaan anugerah antarabangsa pada tahun 1986 di Amerika Syarikat bagi reka bentuk Jambatan Pulau Pinang.
“Atas jasa bakti yang tiada galang gantinya, beliau turut dianugerahkan pelbagai darjah kebesaran termasuk Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) serta Johan Mangku Negara (JMN) daripada Kerajaan Persekutuan,” tambahnya lagi.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berharap penamaan laluan sepanjang kira-kira 800 meter itu, menjadi peringatan berterusan kepada masyarakat mengenai sumbangan besar seorang tokoh yang telah mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia di persada dunia.
“Sesungguhnya, helaian kertas tidak akan pernah cukup untuk mencatatkan segala bakti beliau, namun legasi tersebut akan terus hidup dalam sanubari rakyat.
“Semoga Persiaran Chin Fung Kee ini menjadi warisan yang menyinari serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Sementara itu, Zairil menyatakan bahawa penamaan Persiaran Chin Fung Kee merupakan cadangan daripada pihak IEM.
Beliau menjelaskan bahawa proses penamaan semula jalan tersebut bermula pada 29 Oktober 2025 apabila Jawatankuasa Teknikal Nama Geografi Negeri (JTNGN) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) telah meluluskan dan mengesyorkan penamaan Persiaran Chin Fung Kee.
“Susulan itu, pada 4 Disember 2025, JNNG telah meluluskan secara rasmi pertukaran nama Persiaran Pantai Sinaran kepada Persiaran Chin Fung Kee,” jelasnya.
Menurut beliau, pemilihan laluan di kawasan pembangunan The Light City amat signifikan kerana lokasinya yang berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang, sekali gus melambangkan sumbangan besar mendiang pada peringkat tempatan dan antarabangsa.
Beliau turut menjelaskan bahawa setiap permohonan penamaan atau pertukaran nama jalan perlu melalui prosedur standard yang ketat bagi memastikan ketelusan serta rekod rasmi yang teratur.
“Proses ini bermula dengan permohonan oleh individu, jabatan atau agensi berkaitan sebelum dibentangkan di peringkat jawatankuasa teknikal masing-masing.
“Ia kemudian dibawa ke JTNGN sebelum mendapat pertimbangan dan kelulusan JNNG,” katanya.
Beliau menambah, langkah seterusnya melibatkan penyediaan kertas untuk pertimbangan MMKN bagi mendapatkan kelulusan muktamad pihak berkuasa negeri.
“Setelah diluluskan, pemakluman rasmi akan disampaikan kepada pemohon, diikuti proses pewartaan kepada jabatan dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut di lapangan.
“Diingatkan bahawa proses penamaan jalan dilaksanakan secara sistematik dan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri tanpa memerlukan persetujuan pihak ketiga,” ujarnya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: LAW SUUN TING
Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS