Kisah Zaki Anuar dapat perhatian ADUN

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PAYA TERUBONG – Kesusahan Zaki Anuar Mohamed Abbas, 17, sekeluarga sampai terpaksa hidup dalam rumah penuh gelita kerana tidak mampu lagi membayar bil elekrtik tertunggak mendapat perhatian dua wakil rakyat di sini baru-baru ini.

Dalam satu kunjungan ke rumah tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Yeoh Soon Hin (ADUN Paya Terubung) masing-masing menyatakan hasrat untuk melangsaikan bil tertunggak elektrik, serta sumbangan berwajib yang lain.

Difahamkan, Zaki Anuar terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Mac lepas dan hingga kini masih terlantar di rumah sahaja, tanpa mengikuti jadual latihan fisioterapi dua kali seminggu di hospital terdekat kerana tiada sumber wang.

Ibunya, Fatimah Zulkifli, 40-an, berkata, rumah tempat berteduh beliau, Zaki dan seorang lagi anak, Fahimah, 10, mengharungi hidup saban malam dalam keadaan gelita apabila kerana mereka tidak mampu lagi melangsaikan bil elekrtik tertunggak.

Pada kepala Zaki Anuar masih ada tiub, manakala pada kakinya masih dipasang plat besi sehingga tahun depan.

“Selama ini, dia (Zaki) adalah ketua keluarga yang urus makan minum sekeluarga.

“Selepas apa yang menimpa dia, keadaan kami sekeluarga tidak lagi seperti dulu,” ujar Fatimah kepada dua wakil rakyat berkenaan.