Pengiktirafan MQA bukti PIDC bermutu – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BAGAN DALAM – Kolej Pergigian Antarabangsa Pulau Pinang (PIDC) bukan sahaja diikhtiraf sebagai kolej pergigian swasta pertama di dalam negara yang diberi akreditasi penuh lima tahun oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), malah, yang pertama akan diberi kedudukan lima bintang oleh Kementerian Pendidikan di bawah program My Quest.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbir PIDC, di bawah pimpinan Pengarah Urusannya, Datuk Dr. S. Sharavanan atas pengiktirafan tersebut.

Kejayaan itu, katanya lagi, diharap akan turut menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini kelak.

“Komitmen serta dedikasi pihak pengurusan serta kakitangan akademik dalam memastikan graduan dari institusi ini adalah mereka yang mempunyai standard tinggi.

“Pulau Pinang memang menjadi tempat yang menarik untuk pelabur yang boleh dipercayai seperti ini.

“Dengan keluasan lantai kira-kira 170, 000 kaki persegi, premis baru itu akan menjadi mercu tanda baru dan pasti akan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan Parlimen saya dari Bagan, ” ujarnya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Pembinaan Bangunan Baru PIDC yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM55 juta.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap ADUN Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PIDC, Datin Kamatchi Sharavanan, Prof. Dr. Sabarinathan (Dekan PIDC) dan beberapa pentadbir kolej swasta tersebut.

Guan Eng memberitahu, bangunan yang bakal dibina itu akan menyediakan 200 kerusi pergigian, sebuah jabatan dianogsis serta dewan bedah oral.

Itu, tambah beliau, tidak termasuk infrastruktur tambahan untuk bahagian pentadbiran, sebuah kompleks auditorium, bilik penyelidikan, makmal serta bilik
kuliah.

Direkodkan, kira-kira 224 doktor muda yang graduan daripada PIDC kini mendapat pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan sebahagian besar mereka turut mengendali klinik swasta selepas tamat tempoh perkhidmatan wajib berwajib.