“Kita akan tetap menunggu beliau kembali keluar”

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Perjuangan, kepimpinan dan sumbangan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang merupakan anak jati negeri Pulau Pinang tidak akan dilupakan, malah perjuangannya akan diteruskan.

“Kita tidak akan melupakan jasa Datuk Seri Anwar, kita tetap bersama dengan beliau dan akan tetap menunggu beliau kembali keluar (dari penjara),” kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada sidang media di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, Anwar sebenarnya masih mempunyai kelayakan sebagai Ahli Parlimen (MP) Permatang Pauh dalam tempoh 14 hari mulai tarikh beliau dihukum (10 Februari 2015), jika merujuk pada Perlembagaan Persekutuan.

Atas kelayakan itu, katanya, Anwar wajar terus dilihat sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, sekaligus mengetuai Pakatan Rakyat.

“Kerajaan Negeri ingin menyampaikan rasa simpati ke atas ahli keluarganya yang terpaksa menghadapi cabaran ini, khususnya isteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) serta cucucucunya.

“Beliau masih mempunyai kelayakan sebagai Ahli Parlimen dalam tempoh 14 hari mulai semalam (10 Februari 2015), kecuali beliau memohon ampun, maka kena tunggu sehingga prosiding pengampunan dibereskan.

“Saya sendiri biasa dengan proses ini kerana pernah dimangsakan di bawah Akta Hasutan pada tahun 1998, dan apabila saya membuat petisyen pengampunan, saya masih menjadi ahli parlimen hampir setahun (sebelum prosiding dibereskan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka).

“Maka, kelayakan Anwar sebagai Ketua Pembangkang mesti dihormati berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, dan ini keputusan kami di Pulau Pinang,” jelas Guan Eng.

Semua Exco Kerajaan Negeri turut menyertai sidang media tersebut.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, penjelasan itu berdasarkan Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 48(4)(a) Perlembagaan Persekutuan antara lain menyebut, “kehilangan kelayakan itu hendaklah berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh dia (i) disabitkan dan dihukum.”

Manakala, Perkara 48(4)(b) Perlembagaan Persekutuan antara lain menyebut, “jika dalam tempoh empat belas hari yang dinyatakan dalam perenggan (a) suatu rayuan atau apa-apa prosiding mahkamah yang lain dibawa berkenaan dengan sabitan atau hukuman itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh rayuan itu atau prosiding mahkamah yang lain itu dibereskan oleh mahkamah.”

Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan pula antara lain menyebut, “jika tempoh yang dinyatakan dalam perenggan (a) atau tempoh selepas pemberesan rayuan atau prosiding mahkamah yang lain yang dinyatakan dalam perenggan (b) ada difailkan satu petisyen bagi pengampunan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu dibereskan.”

Enam tahun perbicaraan kes Anwar difitnah meliwat bekas pembantu peribadinya sebelum disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Persekutuan dekat Putrajaya baru-baru ini, mengingatkan khalayak pada konspirasi serupa dalam peristiwa pemecatan beliau sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1997 dulu.