Semua perlu kesedaran jaga persekitaran – ADUN

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : MARK JAMES

PADANG KOTA – Saban tahun, ribuan ringgit terpaksa dibelanjakan bagi membersihkan longkang dan parit yang tersumbat akibat tabiat masyarakat yang tidak ambil peduli kesannya.

Pelbagai jenis sampah dibuang sewenang-wenangnya ke dalam longkang termasuk bahan buangan tidak terurai seperti serpihan kaca, bahan binaan dan plastik.

Oleh demikian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Lebuh Chulia, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pertubuhan bukan kerajaan, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Malaysia (MICCI) Pulau Pinang mengambil inisiatif membersihkan longkang di Little India di sini baru-baru ini.

“Selalunya puntung rokok, pembalut tisu, tisu dan penutup botol sering dijumpai dalam longkang. Lebih teruk lagi apabila ada pekerja am menjumpai beg yang dipenuhi sampah domestik dalam longkang.

“Masyarakat perlu mengubah sikap mereka, jika tidak, walaupun pekerjapekerja am kita (MPPP) membersihkan longkang setiap masa, masalah sama (longkang tersumbat) tetap berulang,” katanya yang turut serta dalam aktiviti gotong-royong di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Majlis MPPP, Dr. Tan Kim Hooi dan Presiden MICCI, N. Vasantharajan.

Tambah Kon Yeow yang juga merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, pihaknya termasuk JKKK setempat akan terus mengadakan gotong-royong bukan sahaja untuk membersihkan kawasan setempat, tetapi juga mengekang penularan gejala demam denggi yang semakin meruncing dewasa ini.

“Menjaga kebersihan persekitaran perlu berterusan dan bukannya bermusim.

“Menjaga kebersihan juga bukan hanya terletak di bahu kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi semua pihak perlu mempunyai kesedaran untuk menjaga persekitaran kita,” ujar beliau.