KITAB Batu Kawan, pihak berkaitan perlu bersama realisasikan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa kampus Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Batu Kawan berstatus universiti yang masih dalam perancangan adalah penting bagi pembangunan syiar Islam di negeri ini.

 

 

Beliau berkata demikian sejurus sesi lawatan ke KITAB dekat Masjid Negeri di sini petang tadi.

 

 

“Selaras dengan dasar Kerajaan Negeri, kita akan memberi sokongan terhadap perancangan masa depan khususnya cadangan mewujudkan universiti Islam (kampus Batu Kawan) dikemukakan.

 

 

“Sememangnya projek ini adalah penting bagi KITAB dan umat Islam negeri ini, dan bagi pihak Kerajaan Negeri, ia merupakan sebuah projek yang kita ingin bersama untuk memastikan ia dapat direalisasikan,” ujarnya.

 

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah KITAB Sdn. Bhd., Dr. Roslan Ahmad; Rektor KITAB, Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah KITAB Sdn. Bhd..

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow  menyatakan bahawa pihak-pihak berkaitan perlu bersama dalam membuat keputusan berkaitan.

 


“Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ada membangkitkan isu-isu berkait hal ehwal agama Islam, dan juga berhubung cadangan ini, sebagaimana saya katakan, saya juga memerlukan panduan daripada beliau untuk dibawa ke perhatian mesyuarat Exco.

 

 

“Mungkin pada peringkat ini, KITAB juga boleh menggariskan isu-isu berbangkit kepada TKMI untuk diambil maklum dan tindakan lanjut,” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

KITAB melalui Ahmad Zakiyuddin pada Oktober lepas mengumumkan perancangan pembinaan sebuah universiti Islam berkonsepkan wakaf di atas sebidang tanah seluas 17.3 ekar dekat Batu Kawan.

 

 

Difahamkan, kerja-kerja awalan seperti reka bentuk bakal dimulakan pada tahun hadapan manakala pembinaan akan dijalankan secara berfasa sehingga siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS