Klinik sukan, pertandingan diharap cungkil lebih ramai bakat baharu – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tengah) merakamkan gambar dengan beberapa pelatih Klinik Sukan Badminton di sini pada 27 Mei 2023.

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap lebih ramai bakat baharu dapat dicungkil menerusi penganjuran Klinik Sukan Badminton dan Pertandingan Badminton Piala Ketua Menteri 2023.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan berkata demikian semasa merasmikan dwi acara tersebut di Jessel Ball Pearl City Sport Center, Bandar Tasek Mutiara dekat sini pada 27 Mei 2023.

“Selain usaha berterusan untuk meningkatkan budaya sukan dalam kalangan rakyat negeri ini, kita (Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP) berharap dengan platform yang disediakan ia dapat membantu mencungkil serta mengasah bakat-bakat muda yang suatu hari nanti mampu menjadi pelapis dalam sukan badminton ini,” jelasnya dalam majlis berkaitan.

Di samping itu, beliau berkata bahawa pihaknya berharap peserta dwi acara tersebut suatu hari nanti akan menjadi bakat baharu serta mengisi barisan pelapis yang mewakili negeri mahupun negara ke peringkat lebih tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Kawan serta barisan penaja dwiacara ini iaitu redONE, Hotel Iconic, Farlim Group (Malaysia) Bhd., ANCOM, UWC dan ramai lagi.

Hadir sama, Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa klinik sukan badminton selama dua hari mulai pagi ini menerima pendaftaran seramai 65 peserta dalam koridor umur lapan hingga 18 tahun serta akan dibimbing oleh barisan jurulatih daripada PGBC Badminton Club.

Manakala, Pertandingan Badminton Piala Ketua Menteri 2023 pula disertai 12 pasukan dalam empat kategori perlawanan yang mana majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 29 Mei 2023 (Isnin) di Hotel Iconic, Bukit Tengah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT