KM gesa usahawan berdaya saing, inovatif depani ekonomi mencabar

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

TANJUNG BUNGA – Usahawan yang mempunyai semangat berdaya saing serta ciri-ciri inovatif sahaja mampu mengharungi ‘iklim’ ekonomi negara yang kian mencabar belakangan ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Jamuan Malam 50 Usahawan Terbaik Malaysia, anjuran Persatuan Usahawan Muda Malaysia (PUMM) baru-baru ini.

“Kita (Malaysia) menghadapi cabaran ekonomi yang banyak kerana kurang kejujuran, kecekapan, inovasi dan keusahawanan di negara kita.

“(Ditambah dengan) ekonomi (negara) kita semakin merosot akibat pelaksanaan GST (Cukai Barangan & Perkhidmatan), susut nilai Ringgit (Malaysia, RM) serta skandal kewangan seperti RM42 bilion 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Usahawan adalah pemacu ekonomi…desakan mereka lah yang melahirkan teknologi baharu (sungguhpun) banyak masa yang mereka tempuhi adalah risiko tanpa sebarang kepastian untuk mendapat pulangan ganjaran,” katanya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Guan Eng memberitahu, amalan daya saing, integriti serta inovasi dalam menguruskan Kerajaan Negeri menyumbang pada peningkatan pelaburan ke negeri ini dalam tempoh tahun 2008 hingga 2015 berjumlah kira-kira RM55 bilion.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 90 peratus berbanding sebelumnya, dalam tempoh lapan tahun sejak 2000 hingga 2007, iaitu berjumlah RM 29 bilion sahaja,” jelasnya.

Bukan setakat itu sahaja, beliau memberitahu, tunggakan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat pada tahun 2015 serendah RM1.5 juta, manakala hutang terkumpul pula sejumlah RM69.36 juta, adalah dua rekod paling rendah berbanding negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, Guan Eng memuji tiga syarikat dari Pulau Pinang yang tersenarai sebagai penerima anugerah pada majlis itu. Mereka, syarikat EE-Lian Enterprise (M) Sdn. Bhd. dan Ideal Property Development Sdn. Bhd. masing-masing diberi Anugerah Diamond, manakala Ewein Zenith Sdn. Bhd. (Anugerah Platinum).

Mahathir semasa menyampaikan ucaptama memberitahu, keberanian para usahawan terdahulu dan kini dalam mengambil risiko sebenarnya terus menyumbang pada perkembangan ekonomi negara.

“Kita berasa gembira melihat orang-orang yang telah melakukan sesuatu yang baik pada hari ini dan kita berharap akan dapat melihat lebih banyak usahawan mencipta kekayaan untuk melonjakkan Malaysia menjadi negara maju,” ucapnya.

Top 50 Enterprise Awards Malaysia merupakan antara anugerah perniagaan paling berprestij di negara ini. Ia direka bagi mengiktiraf perniagaan yang berjaya, para usahawan atas kejayaan perniagaan dan pencapaian mereka di dalam negara serta menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain yang sedang meningkat naik.

Anugerah ini dibahagikan kepada lima kategori iaitu Anugerah Kehormat (lapan pemenang), Anugerah Diamond (6), Anugerah Platinum (11), Anugerah Emas (25) dan Anugerah Hijau (3).