KM harap ‘Harimau Kumbang’ layak Liga Super

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

DATUK KERAMAT – Perlawanan pembukaan bola sepak Liga Perdana 2015 antara pasukan Pulau Pinang menentang Kuantan F.A. turut disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng, diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff turut dibawa bertemu kesebelasan utama pasukan ‘Harimau Kumbang’ negeri di padang, sebelum wisel permulaan ditiupkan di Stadium Bandaraya di sini baru-baru ini.

Pada pertemuan ringkas itu, Guan Eng sekali lagi melahirkan harapan agar persembahan ‘Harimau Kumbang’ pada musim ini terbaik serta tidak mengecewakan rakyat Pulau Pinang yang terus berharap pasukan kegemaran mereka layak ke Liga Super 2016 kelak.

Kelihatan, peminat setia Pulau Pinang dikenali ‘Abang Burung’ secara peribadi mencuri peluang dengan menyampaikan cenderahati kepada Guan Eng, sebagai menghargai komitmen Kerajaan Negeri mereputasi industri bola sepak negeri. Pada minit ke-53, hantaran lintang pemain import ‘Harimau Kumbang’, Hilton Maureira ke petak penalti mencipta kejutan gol, walaupun pemain pertahanan Kuantan F.A, Lee Kwang Hyeun yang cuba menanduk keluar akhirnya melolos gawang sendiri.

Perlawanan sulung tersebut bagaikan langkah kanan untuk ‘Harimau Kumbang’ apabila menang 1-0 hingga minit ke-90.

Jackson F. Tiago, dalam reaksi spontan mengaku bahawa beliau masih belum berpuas hati dengan mutu persembahan pasukannya, kerana gagal mencipta beberapa gol tambahan dengan peluang yang ada.

“Sekiranya kita jaringkan gol awal terlebih dahulu dengan memanfaatkan beberapa peluang pada lima minit awal permainan, mungkin tempo perlawanan agak berbeza dan permainan akan menjadi lebih mudah.

“Namun, apabila satu demi satu peluang terlepas, pemain-pemain sudah mula menampakkan kekecewaan dan momentum pasukan mula kendur, nasib baik kita berjaya memperoleh satu gol saguhati,” jelas beliau sejurus tamat perlawanan.

Bagi persediaan Liga Perdana 2015, Pulau Pinang kini menjadi sebutan pasukan lawan berikutan sokongan padu oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang menaja sebanyak RM4 juta.

Beberapa hari menjelang Liga Perdana 2015, pihak pemaju, Tropicana Ivory Sdn. Bhd. pula turut menyumbangkan RM3 juta bagi pembangunan bakat muda FAP, sekaligus menggambarkan harapan rakyat dan beberapa pihak pada mutu persembahan ‘Harimau Kumbang’.