Kontraktor Bumiputera mampu bersaing dalam tender terbuka

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM – Pelebaran Jalan Siram sepanjang satu kilometer dalam kawasan Parlimen Bagan di sini menelan belanja RM8.9 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 9 April depan merupakan satu lagi rekod komitmen Kerajaan Negeri dalam meningkatkan mutu infrastruktur kemudahan asas rakyat di bandar dan di luar bandar dekat negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, projek penarafan itu diharap mampu mengurangkan lagi kesesakan trafik dari persimpangan Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) ke Jalan Sungai Nyior hingga persimpangan Jalan Telaga Air Tawar ke Jalan Raja Uda di sini kelak.

“Kos menaiktaraf Jalan (Siram) berjumlah RM4.29 juta, manakala, kos pengambilan balik tanah pula berjumlah RM4.4222 juta.

“Ini, sebagai satu lagi projek Kerajaan Negeri yang akan memberikan faedah kepada penduduk setempat,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Pecah Tanah Projek Penarafan Sistem Saliran Dan Jalan Siram di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan, Datuk Abu Jamal Nordin (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pembangunan), Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Salleh Awang turut hadir pada majlis tersebut.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri pada tahun ini memperuntukkan sejumlah RM32.7 juta untuk penarafan beberapa jalan berwajib, khususnya enam projek pembangunan infrastruktur kemudahan asas di bandar dan luar bandar yang keseluruhan menelan belanja RM86.3 juta.

“Kita belanja RM32.7 juta pada tahun ini, dan bakinya untuk keseluruhan kos projek berjumlah RM86.3 juta akan disediakan pada tahun depan,” ujar Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Justeru, menurut beliau, rancangan pembangunan Kerajaan Negeri pada masa hadapan tersebut sekaligus akan membawa manfaat kepada para kontraktor Bumiputera berwibawa melalui amalan tender terbuka, sebagaimana ADZ Prima Sdn. Bhd. yang dipilih melaksanakan projek penarafan Jalan Siram sejak 9 Mei tahun lepas.

“ADZ Prima Sdn. Bhd. telah menang secara tender terbuka kerana menawarkan harga paling baik dan mutu paling baik dengan menyiapkan projek ikut jadual.

“Jangan cakaplah bahawa kontraktor Bumiputera tidak mampu bersaing dalam tender terbuka, kerana memang ada kontraktor berwibawa yang mampu dipilih kerana mereka layak dan ada wibawa,” tegasnya.

} else {