KM harap semakan kehakiman beri keadilan kepada PPS

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Fail semakan kehakiman berhubung pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengharamkan penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di bawah Kerajaan Negeri baru-baru ini diharap dapat memberi keadilan kepada 157 mangsa tangkapan polis.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pengumuman Ahmad Zahid yang dibuat kira-kira dua bulan selepas insiden tangkapan beramai-ramai 157 anggota PPS terbabit pada 31 Ogos tahun lepas adalah tidak mengikut prinsip keadilan sejagat.

“Kalau nak ambil tindakan, buat perintah dahulu dan barulah ambil tindakan.

“Permohonan (semakan kehakiman) ini diharap dapat mengembalikan keadilan untuk semua ahli PPS, lebih-lebih lagi apabila
perintah pengharaman dibuat selepas 157 ahli PPS ditahan,” ujarnya kepada wartawan selepas selesai proses memfailkan semakan kehakiman berwajib di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut menyertai sidang media tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang masing-masing merupakan pengamal undang-undang.

Guan Eng memberitahu, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh selaku Pengerusi PPS akan bertindak sebagai plaintif, mewakili Kerajaan Negeri.

Wakil kepada tiga pihak defenden, iaitu Menteri Dalam Negeri, Ketua Inspektor Polis dan Kerajaan Malaysia sebagaimana dinamakan dalam fail afidavid Kerajaan Negeri masing-masing tidak kelihatan pada hari Kerajaan Negeri memfailkan semakan kehakiman dibuat di sini.

Menurut Guan Eng, peguam yang akan mewakili Boon Poh kemungkinan adalah Dato’ S. Ambiga, Datuk Malik Imtiyaz Sarwar, Tommy Thomas dan Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Terdahulu, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos tahun lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang, kerana tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan, 1966.

Dakwaan itu, selepas insiden ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mengaku diserang oleh dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam.

Susulah kenyataan Khalid, seramai 157 anggota PPS ditangkap pada 31 Ogos tahun lepas, sejurus selesai menyertai perarakan rasmi Sambutan Hari Merdeka Peringkat Negeri di Padang Kota Lama di sini, lalu direman semalaman dalam lokap polis.

Guan Eng dalam beberapa kenyataannya menegaskan bahawa PPS ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri serta tidak perlu didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS), seperti amalan kebiasaaan di Pulau Pinang serta negeri-negeri lain dalam menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

Guan Eng kemudiannya mengumumkan keputusan rasmi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, iaitu ‘merehatkan’ keseluruhan operasi PPS sehingga ada deklarasi daripada mahkamah.

Pada 4 November tahun lepas, Ahmad Zahid mengumumkan PPS sebagai pertubuhan haram serta mengarahkan aset rasmi pasukan sukarelawan tersebut dirampas.

Sehari kemudian, Guan Eng pula mengumumkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memfailkan semakan kehakiman (judicial review) ke atas Ahmad Zahid dan dua pihak lain atas pengumuman Menteri berkenaan yang didakwa berniat jahat atau mala-fide.

} else {