Ahli Qariah Masjid Jalan Telaga Air model keharmonian agama – KM

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : TANG KENG LEONG

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memuji jemaah Masjid Telaga Air, Butterworth, Bagan Jermal atas kejayaan mereka memberkas seorang lelaki yang bertindak membaling satu bungkusan dipercayai mengandungi daging khinzir ke dalam kawasan masjid berkaitan awal pagi 7 Februari lalu di sini.

Lanjutan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri mengutuk sekeraskerasnya perbuatan jenayah tidak bertamadun itu, malah, pihak polis mesti mengambil tindakan tegas terhadap suspek lelaki dipercayai mengalami masalah mental yang mana telah menunjukkan sikap tidak menghormati agama serta mengancam keharmonian agama dalam masyarakat.

“Tindakan tegas dan pantas perlu diambil terhadap mereka yang melakukan perbuatan merosak dan tidak diingini itu kerana ia telah mengancam keharmonian agama dan rumah-rumah ibadat.

“Bagaimanapun, saya yakin warga Pulau Pinang cukup matang untuk memastikan keharmonian kaum dan agama terus kekal,
manakala keamanan dipertahankan apabila rakyat tidak mudah terpengaruh dan terjejas dengan perbuatan-perbuatan yang tidak diingini serta merosakkan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Ekoran kejadian tersebut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan telah mengadakan lawatan ke masjid berkaitan.

Turut serta, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng dan Pengerusi Qariah Masjid Telaga Air, Mohd. Rizuan Hassim.

Menurutnya, ahli Qariah Masjid Jalan Telaga Air perlu dijadikan model keharmonian agama dan muhibah ekoran kesabaran mereka untuk menahan lelaki yang terlibat dalam perbuatan menghina masjid berkenaan.

“Kerajaan Negeri mengulangi kecaman keras terhadap serangan jenayah tidak bertamadun ini. Jelas sekali pelakunya ini mengalami masalah mental kerana tidak mensasarkan masjid lain di kawasan sama, sebaliknya hanya Masjid Jalan Telaga Air dan insiden tidak hanya berlaku pada waktu malam, tetapi juga siang hari,” tegas beliau.

Tambah Guan Eng, ketika mengadakan lawatan ke masjid berkaitan, beliau terkejut apabila dimaklumkan bahawa kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku, tetapi merupakan kejadian berulang.

“Ahli Qariah dengan sabar menunggu pelaku itu dengan meronda kawasan tersebut dengan polis.

“Akhirnya, mereka menangkap lelaki bermasalah mental ketika (dia) sedang bertindak mencampakkan bungkusan. Salah seorang ahli jemaah, Mohd. Nasri Hassim dengan berani mengejar lelaki (suspek) berkaitan dengan motosikal dan kemudian menyerahkannya kepada polis yang turut bertindak mengejar suspek di belakangnya,” jelas beliau.

Guan Eng memberitahu, tindakan tersebut merupakan suatu yang harus dipuji iaitu kesabaran pihak masjid menunggu pelakunya dan tidak mahu membangkitkan perkara tersebut secara terbuka ekoran kebimbangan masing-masing berkenaan sensitiviti agama.

“Mereka memberitahu saya bahawa perbuatan itu cuma dilakukan oleh seorang lelaki yang kurang siuman. Mereka tidak mahu menghebohkan kejadian itu untuk mengelakkan salah faham dan menghalangnya daripada dieksploitasi.

“Kefahaman dan keprihatinan terhadap keharmonian berbilang agama dan sensitiviti dalam masyarakat berbilang kaum membanggakan rakyat Pulau Pinang.

“Tindakan sensitif pihak Masjid Jalan Telaga Air membuktikan bahawa terdapat ramai wira tidak didendang di Pulau Pinang yang bekerja tanpa mengenal penatlelah dan secara senyap-senyap bertekad memelihara, melindungi dan menggalakkan keharmonian agama.

“Muhibah dan semangat seperti ini adalah sebab utama wujudnya keyakinan untuk kejayaan masa depan Pulau Pinang dan kemakmuran berasaskan kerjasama dan saling hormat-menghormati dalam kalangan semua rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum dan agama,” seru beliau.

Sebagai tindakan susulan, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan membantu meningkatkan keselamatan di kawasan terbabit dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di seberang jalan.

“Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bekerjasama secara aktif dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan serangan-serangan ini tidak akan menjejaskan perpaduan dan kestabilan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Kejadian tersebut merupakan insiden ketiga pada tahun ini di mana rumah-rumah ibadat telah dinodai dan diserang. Dua kejadian awal telah berlaku di Wat Buddha Siam di Tanah Liat, Bukit Mertajam dan di Kuil Hindu Kaliamman, Pokok Machang, Tasek Gelugor.

Kedua-dua serangan berkenaan adalah berpunca daripada lelaki yang turut dipercayai mengalami masalah mental, di mana telah ditangkap polis.