KM ketuai misi ke Hong Kong, Taiwan, kukuh kerjasama

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar: CB LIM

HONG KONG – Sejajar dengan tiga strategi utama Kerajaan Negeri dalam memastikan kemampanan ekonomi, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng barubaru ini mengetuai misi pelaburan Pulau Pinang ke Hong Kong dan Taiwan bagi mengukuhkan kerjasama melalui hubungan perdagangan dan pelaburan.

Kerjasama ini antara lain termasuklah pengaturan kolaboratif dua hala bagi menggalakkan perkembangan pasaran kewangan, daya saing, memperkasakan pembangunan modal insan dan memupuk kerjasama dalam pembanterasan jenayah sama ada di Pulau Pinang, Hong Kong mahupun di Taiwan.

Ketika berucap pada Seminar Pelaburan Pulau Pinang di Hotel New World Millennium di sini baru-baru ini, Guan Eng turut menjelaskan beberapa inisiatif dan langkah-langkah intensif turut diambil dalam usaha merealisasikan pengukuhan ekonomi. Antaranya, penumpuan terhadap sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menjadi kunci kejayaan sesebuah entiti ekonomi.

“Pada tahun 2013, Pulau Pinang mencatat RM62.6 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu merangkumi 48 peratus dari keseluruhan sektor pembuatan dan 47 peratus melalui sektor perkhidmatan dengan peningkatan enam peratus setahun.

“Jumlah ini termasuk beberapa lapangan utama negeri iaitu perkhidmatan pelancongan, multimedia kreatif, perubatan, pendidikan dan perkhidmatan perkongsian serta penyumberan luar (SSO),” katanya. Selain itu, menurut beliau, Pulau Pinang juga kini giat menarik bakat-bakat dari luar negara melalui program latihan profesional antarabangsa dengan kerjasama universiti di Jepun, New Zealand, Jerman dan Switzerland.

Guan Eng dalam pada itu turut berkongsi usaha Pulau Pinang dalam memastikan kelestarian rakyatnya melalui Pelan Induk Pengangkutan Awam yang menelan belanja sehingga RM27 bilion bagi tempoh 2015 sehingga 2030.

“Perkongsian ini sebenarnya mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri ke arah mengeratkan lagi hubungan bilatera sedia kukuh dan mewujudkan ekosistem kondusif yang akan menyokong kepelbagaian aktiviti perdagangan antara Pulau Pinang dan Hong Kong,” jelasnya.

Pada masa sama, Guan Eng menekankan bahawa keyakinan kerjasama antara dua pihak berkaitan akan terus memberi manfaat dan mewujudkan situasi berfaedah.

Dalam rangka lawatan tersebut, Guan Eng turut ditemani Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun.

Turut sama, Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian; Ketua Jurutera Bahagian Kerajaan Tempatan (Unit Pengurusan Trafik), Ir. Lim Thean Heng serta tiga pegawai kanan polis iaitu Ketua Pegawai Siasatan Jenayah (OCCI), Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid dan Asisten Supritendan Chien Chunng Tsauramong.

 d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);