KM rai ‘Adat Berendoi’ Melayu

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

K E T U A M e n t e r i mendukung Mohamad Rizki Rayyan Mohd. Mustakim sambil diperhatikan Rosidi Hussain (kiri sekali) pada Majlis “Adat Berendoi” di Kampung Pulau Mertajam di sini baru-baru ini
KETUA Menteri mendukung Mohamad Rizki Rayyan Mohd. Mustakim sambil diperhatikan Rosidi Hussain (kiri sekali) pada Majlis “Adat
Berendoi” di Kampung Pulau Mertajam di sini
baru-baru ini

PENAGA – Perbezaan ideologi politik kepartian tidak pernah menghalang Y.A.B Tuan Lim Guan Eng untuk turun bertandang ke Kampung Pulau Mertajam, Penaga yang dikatakan sebagai kubu kuat pihak pembangkang.

Bersempena lawatan tersebut, Ketua Menteri telah meraikan “Adat Berendoi” yang menjadi salah satu
kebudayaan Melayu-Islam di kediaman Datuk Ahmad Jaafar (salah seorang penduduk Kampung Pulau Mertajam), di sini.

Selain kenduri kesyukuran dan dendangan marhaban mendoakan kelahiran baru cahaya mata, mencukur rambut dan membelah mulut (tahniq) yang menjadi sunnah Rasulullah s.a.w turut dilakukan dalam majlis berkenaan.

“Yang penting, jangan lupa untuk daftar cucu di bawah Program Anak Emas yang melayakkan cucu Datuk menerima RM100 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” seloroh Guan Eng sambil merakamkan tahniah kepada Ahmad kerana menerima cucu kedua, Mohamad Rizki Rayyan Mohd. Mustakim.

Ahmad dalam satu reaksi spontan merakamkan penghargaan atas kesederhanaan Guan Eng bertandang ke rumahnya.

“Kampung ini mungkin antara beberapa kampung yang masih meraikan adat Melayu. Sejak tahun lepas lagi, Adat (Berendoi) ini dihidupkan semula di rumah ini kerana kata orang tua-tua ‘biar mati anak, jangan mati adat’.

“Walaupun kampung saya ini ramai (penyokong) Umno, datanglah selalu ke sini. Saya tidak kisah pemimpin PAS atau DAP selalu turun ke sini sebab dua cucu saya ini sendiri dibelah mulut (tahniq) oleh (PPK Penaga merangkap Yang DiPertua PAS Kawasan) Ustaz Rosidi Hussain sendiri,” ujar  beliau di sini baru-baru ini.