KN akan terus bela nasib penarik beca – Exco

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Seramai 150 penarik beca sekitar George Town baru-baru ini menerima sumbangan payung beca dari syarikat pengeluar lampu terkemuka Jerman, Luminex LED.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang di Lebuh Pantai sempena program Hari Tanpa Kereta baru-baru ini di sini.

Sejurus selepas penyampaian sumbangan, Heng Kiang ketika ditemui menzahirkan ucapan terima kasih kepada Luminex LED kerana sudi menyampaikan sumbangan berkaitan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak terbabit.

Katanya, sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi membaiki keadaan fizikal beca-beca di Pulau Pinang supaya lebih menarik dan menggamit minat pelancong.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga menggalakkan syarikat-syarikat korporat mahupun swasta untuk tampil membantu golongan penarik beca agar beca Pulau Pinang kekal sebagai salah satu ‘produk’ utama dalam sektor pelancongan negeri,” katanya pada majlis berkenaan di sini.

Turut sama, Pengarah Urusan Luminex LED, Tan Kean Boon. Menurut Heng Kiang, sebagai tambahan, Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif memberikan sumbangan sehingga RM100 sebulan kepada penarik-penarik beca berdaftar bagi membantu meringankan beban kos sara hidup masing-masing.

“Kerajaan Negeri akan terus membela nasib penarik beca di Pulau Pinang dan mencari alternatif terbaik bagi membantu mereka,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang.}