KN komited imbangi pembangunan fizikal & alam sekitar

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

BERTAM – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyeru syarikat-syarikat pemaju swasta supaya dapat bersama-sama Kerajaan Negeri menghijaukan negeri ini melalui inisiatif Make A Pledge Plant A Tree.

Seruan itu dibuat pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2016 Peringkat Negeri Pulau Pinang bertempat di Vision Park, dekat Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerjasama antara sektor swasta, masyarakat setempat dan kerajaan adalah amat diperlukan.

“Bagi menjadikan Pulau Pinang negeri nombor satu, kita harus menjadi nombor satu dalam inisiatif hijau, sekaligus menobatkan cogan kata Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat sebagai realiti,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Dato’ Mohd. Anuar Maidin (Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri, JPBD) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP).

Turut serta, wakil-wakil dari syarikat pemaju swasta tempatan. Pada majlis berkenaan, sebanyak 400 pokok pelbagai spesies yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) ditanam.

Tambah Jagdeep, Kerajaan Negeri sentiasa komited mengimbangi pembangunan fizikal dengan keperluan semasa dalam mengekalkan dan memulihara alam sekitar di negeri ini.

“Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensinya secara berterusan mengadakan program-program penanaman pokok bagi mengekalkan kehijauan demi memberi suasana selesa dalam bandar.

“Ini sekaligus mematahkan tohmahan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa bahawa Kerajaan Negeri membenarkan pencerobohan hutan simpanan kekal di negeri ini,” tegasnya.

Dari tahun 2008 sehingga September 2016, sebanyak 250,726 pokok telah ditanam oleh pelbagai agensi Kerajaan Negeri seperti JPNPP, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), MPSP dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di negeri ini.