Pertambahan luas kawasan pertanian simbol sektor IAT berdaya saing

PULAU BETONG – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, pertambahan kawasan pertanian di bahagian pulau menunjukkan bahawa sektor industri asas tani (IAT) di negeri ini masih signifikan serta berdaya saing untuk diceburi oleh mereka yang berminat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Ladang dan Kempen Pendaftaran Petani Tahun 2016 Peringkat Daerah Barat Daya (DBD) dan Daerah Timur Laut (DTL) di sini baru-baru ini.

” Walaupun terdapat sedikit peningkatan keluasan kawasan pertanian, ini menunjukkan bahawa sektor pertanian masih lagi signifikan dan berdaya maju (viable) untuk diceburi oleh sesiapa sahaja yang berminat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail, Halil Sabri Hamid (PPK Teluk Bahang), Azhar Ibrahim (Pegarah Pertanian Negeri), Ederis Mat Din (Pegawai Daerah DBD) dan beberapa pemimpin utama Kerajaan Negeri lain.

Menurut Afif, sehingga November lalu, kawasan pertanian DBD adalah seluas 1,125 hektar berbanding 2015 (1,102.4 hektar), manakala bagi DTL adalah seluas 369.85 hektar berbanding 331.77 hektar pada tahun lalu.

“Di pihak Jabatan Pertanian Negeri sendiri, pelbagai bentuk khidmat nasihat dan bimbingan serta insentif disediakan bagi membantu usahawanusahawan tani yang berminat menceburi bidang pertanian atau industri asas tani,” jelasnya.

Sebagai galakan, Afif memberitahu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri memberi insentif RM500 kepada ladang yang mencapai piawaian pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) atau Skim Pensijilan Organik Malaysia (MyOrganic).

“Bagi tahun 2016, sebanyak 15 ladang mendapat insentif MyGAP dan insentif MyOrganic (2) di Daerah Barat Daya (DBD) dan Timur Laut (DTL), dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8,500,” ujarnya.

Tambah beliau, insentif khas berjumlah RM500 turut akan diberikan kepada penanam durian Balik Pulau di DBD sahaja, susulan pelaksanaan Pendaftaran Petunjuk Geografi Durian Balik Pulau oleh Jabatan Pertanian Negeri dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ke arah mengukuhkan pemasaran produk identiti (signature product) negeri ini.

“Seramai lapan penanam durian di Daerah Barat Daya (DBD) akan mendapat Sijil Kebenaran Khas Penggunaan Petunjuk Geografi (GI) Durian Balik Pulau,” kata beliau.

Difahamkan, Jabatan Pertanian Negeri pada tahun ini memperuntukkan RM3.13 juta untuk tujuan memberi latihan serta agihan projek pertanian dan industri asas tani rakyat. Daripada peruntukan yang diluluskan itu, sejumlah RM578.110 untuk DBD dan DTL, berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM439,711.