KN komited turun jumlah kemalangan maut

SUNGAI DUA – Kempen Balik Kampung Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2015 bertemakan ‘Nyawa Dihargai, Selamat ke Destinasi, Kemeriahan Dirasai’ yang dilancarkan di Plaza Tol Sungai Dua di sini barubaru ini adalah bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya menjelang sambutan berkenaan.

Program anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Pulau Pinang itu meliputi empat pendekatan utama iaitu pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan serta pemantauan dan penilaian.

Exco Kerja Raya, Utiliti & Pengangkutan merangkap Pengerusi MKJR, Lim Hock Seng memberitahu, sekiranya tiada program keselamatan jalan raya yang menyeluruh dilaksanakan, dijangka jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang tahun 2020 adalah 10,716 kes.

“Jangkaan ini adalah berdasarkan analisa tren terdahulu. Berdasarkan tren ini, pada tahun 2015, dijangkakan akan terdapat kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 8,760 kes.

“Namun, bagi negeri Pulau Pinang, jumlah kematian akibat kemalangan ini (maut) dilihat semakin menurun dari tahun ke tahun iaitu 400 kematian dilaporkan pada tahun 2012, 381 kematian (2013) dan 377 (2014),” ujarnya ketika hadir melancarkan kempen berkaitan di sini barubaru ini.

Turut hadir, Pengarah JKJR Negeri, Muhamad Husni Mahmud serta Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohd. Shoki Hamzah.

Mengulas lanjut, Hock Seng memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif bagi menjamin penurunan jumlah kematian akibat kemalangan di negeri ini berkekalan.

“Pada 5 Jun lepas, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang Tahun 2014 – 2020 yang mengandungi empat tonggak utama iaitu data dan maklumat yang membantu, perubahan sikap, jalan raya yang memaafkan dan peningkatan keselamatan penunggang motosikal.

“Melalui pelan ini, adalah dijangkakan jumlah kematian akibat kemalangan di negeri ini akan menurun sebanyak 10 peratus pada setiap tahun,” ujar beliau.

Bersempena program berkaitan, JKJR dan MKJR telah menyumbangkan 50 unit topi keledar menepati piawaian SIRIM, rompi keselamatan (50), pelekat pantulan cahaya (500), beg cenderamata yang mengadungi risalah kempen (500), hamper perayaan (10) dan minyak pelincir Pertonas tajaan Petronas Lubricant Marketing Malaysia (10 karton) kepada pengguna jalan raya.

if (document.currentScript) {