KN nikmati lebihan belanjawan setiap tahun – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menegaskan bahawa tadbir urus yang dijalankan Kerajaan Negeri adalah berdasarkan lebihan bajet dan bukannya secara defisit sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Jelasnya, pengurusan kewangan yang baik membolehkan Kerajaan Negeri menikmati lebihan belanjawan setiap tahun sebagaimana disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Sungguhpun sewaktu pembentangan bajet, kita (Kerajaan Negeri) menganggarkan belanjawan defisit sebanyak RM200 juta, namun apabila penyata kedudukan kewangan ditutup, kita (Kerajaan Negeri) memperoleh lebihan sebanyak RM54.17 juta dalam akaun hasil disatukan.

“Ini jelas terbukti berdasarkan jumlah rizab tunai pada tahun 2014 berjumlah RM1,456.03 juta berbanding RM1,292.10 juta (2013),” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri masih mampu membayar gaji kakitangan awam dan mencatatkan lebihan kewangan bagi meneruskan program-program kebajikan dan pembangunan yang dirancang meskipun hanya menerima balik pulangan dua peratus sahaja daripada keseluruhan cukai yang dibayar oleh rakyat Pulau Pinang kepada Kerajaan Pusat iaitu RM6.3 bilion.

“Tidak seperti sesetengah negeri, yang mana duit nak bayar gaji pun tak mencukupi. “Secara umumnya, rizab tunai tidak boleh dikosongkan.

“Belanjawan kita (Kerajaan Negeri) pada tahun depan (2016) adalah membabitkan RM1,105.65 juta, sekiranya rizab ini kurang daripada belanjawan, macam mana kita (Kerajaan Negeri) boleh jalankan projek-projek pembangunan, malah tak cukup wang untuk biayai perbelanjaan bajet pun.

“Justeru, saya harap pihak-pihak tertentu boleh hentikan tohmahan dan fitnah bahawa kita (Kerajaan Negeri) mencatatkan defisit setiap tahun,” tegas beliau.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);