Tmn. Free School perintis projek ‘remajakan’ semula bangunan lama

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri baru-baru ini mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau secara berkala pembangunan semula skim-skim perumahan kos rendah ‘berusia’ di negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo ketika mengumumkannya memberitahu bahawa penubuhan Jawatankuasa Khas Pembangunan Semula Bandar adalah bertujuan memantau secara berkala projek-projek pembangunan semula dan menaiktaraf rumah kos rendah di Pulau Pinang.

Katanya, jawatankuasa baru dipengerusikan beliau, yang juga akan meneliti rancangan pembangunan semula dan program ‘meremajakan’ semula bangunan-bangunan kediaman lama.

“Melalui jawatankuasa ini, kita akan mengkaji secara terperinci dan mengenal pasti bangunan kediaman sedia ada seperti rumah flat yang perlu diubahsuai dengan mengambil kira mobiliti, kos dan keselamatan penduduk.

“Begitu juga aspekaspek yang perlu dari segi perundangan kerana sebahagian dari unit-unit rumah yang mungkin akan terlibat dalam pembangunan semula ini adalah milik persendirian,” katanya pada sidang media di sini barubaru ini.

Jawatankuasa Khas Pembangunan Semula Bandar atau Urban Regeneration Committee turut dianggotai Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air & Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi), Lim Hock Seng serta agensi-agensi kerajaan dan swasta berwajib.

Sebagai permulaan, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menyatakan bahawa Taman Free School bakal dijadikan sebagai perintis projek jawatankuasa tersebut.

“Kita (jawatankuasa khas) sedang dalam perancangan untuk merobohkan 1,250 unit rumah berkeluasan 500 kaki persegi (k.p) di Taman Free School untuk dibangunkan semula menjadi unit rumah yang berkeluasan 700 k.p dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.

“Malah, proses panggilan kertas cadangan (CFP) untuk projek ini sedang diusahakan.

“Saya percaya proses ini (pembangunan semula) akan mewujudkan suasana dan kualiti hidup lebih baik kepada penduduk setempat sekaligus dapat mengurangkan peningkatan kos penyelenggaraan yang kerap,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Jagdeep turut mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM21.1 juta bagi tujuan penyelenggaraan antara tahun 2010 hingga September 2015.

“Kos penyelenggaraan ini termasuk di Taman Tun Sardon yang menelan belanja RM5.2 juta, Mak Mandin (RM3.1 juta), Rifle Range (RM10.2 juta) dan Taman Free School (RM2.6 juta), kesemuanya bangunan lama yang berusia antara 29 tahun ke 40 tahun.

“Negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Jepun telah berjaya ‘meremajakan’ semula skim-skim perumahan kos rendah yang telah berusia dan Pulau Pinang mengambil inisiatif melaksanakannya di sini,” jelas beliau.

} else {