‘Lampu hijau’ PIP, SRS boleh runding dan dapat kelulusan SPAD

GEORGE TOWN – ‘Lampu hijau’ yang diberikan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini membolehkan Konsortium SRS selaku rakan penyampai projek (PDP) untuk berunding serta mendapatkan kelulusan berwajib berhubung pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang daripada beberapa pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata demikian kepada wartawan, selepas selesai suatu Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dengan wakil Konsortium SRS di sini baru-baru ini.

“Dengan ‘lampu hijau’ ini, SRS diberikan kebenaran untuk membentangkan (PIP) kepada SPAD…dengan tujuan untuk mendapatkan kelulusan pada akhirnya (daripada Kerajaan Pusat),” katanya yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Pulau Pinang (PTC).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) serta Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) turut sertai sidang media itu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri baru-baru ini meluluskan skim pengangkutan awam atas landasan dan skim pemajuan lebuhraya secara bersepadu, meliputi bahagian pulau dan Seberang Perai.

“Skim pengangkutan awam atas landasan (railway scheme) terdiri oleh satu jajaran transit aliran ringan (LRT) serta dua monorel di bahagian pulau, serta satu LRT lain merentasi laut ke tanah besar Seberang Perai.

“Skim tersebut juga terdiri oleh satu lagi jajaran monorel serta mewujudkan sistem bas alihan cepat (BRT) di Seberang Perai.

“Satu lagi skim adalah mengenai pemajuan beberapa jajaran lebuhraya secara bersepadu (highway scheme) di bahagian pulau ke Seberang Perai, demi menangani kesesakan trafik kenderaan pada waktu puncak.

“Secara khususnya, satu adalah railway scheme, kedua adalah highway scheme (dan) kelulusan ketiga yang diberikan adalah fasa pertama yang kita (Kerajaan Negeri) ini melaksanakan jajaran LRT dari Komtar ke Bayan Lepas,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Tambah beliau, rangkaian island link juga adalah satu lagi projek yang diutamakan Kerajaan Negeri, sama seperti jajaran LRT Komtar – Bayan Lepas.

Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Projek PIP dari Konsortium SRS, Szeto Wai Long memberitahu bahawa proses mendapatkan kebenaran berwajib SPAD adalah kira-kira dalam tempoh setahun, dan kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada tahun 2017.

Katanya, Konsortium SRS sebelum sidang media ini telahpun membentangkan secara terperinci mengenai kaedah serta proses mendapatkan kelulusan berwajib daripada agensi-agensi persekutuan, termasuk SPAD.

PIP yang dianggarkan menelan belanja RM27 bilion akan dilaksanakan oleh Konsortium SRS sehingga tahun 2030, demi menangani masalah kesesakan trafik pada masa hadapan di negeri ini.

Sementara itu, pada majlis berasingan, Guan Eng memberitahu bahawa penempatan yang terjejas disebabkan pelaksanaan PIP nanti akan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Ini kerana, katanya, rundingan awam dengan penduduk setempat serta kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) mesti diperoleh terlebih dahulu, sebelum memulakan kerja-kerja pelaksanaan PIP ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) memberi jaminan bahawa DEIA akan diambil kira bagi memastikan aspek alam sekitar sedia ada tetap terpelihara dengan baik termasuk aspek maritim,” jelas Guan Eng.