KN sentiasa letak keutamaan tinggi terhadap alam sekitar – KM

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek pembangunan yang dirancang di negeri ini perlulah diseimbangkan agar tidak menjejaskan alam sekitar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas persoalan yang diajukan pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari dan Dialog Bersama-sama Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, kerap kali isu berkaitan dibangkitkan melalui media massa, namun beliau memberi jaminan bahawa ia bukanlah sesuatu yang kontroversi.

“Isu ini akan menjadi sensitif kepada mereka yang mahu menjadikannya kontroversi, dan akan sentiasa menjadi isu perlu dipertimbangkan setiap kali kita (Kerajaan Negeri) merancang sesuatu pembangunan,” ujarnya. Pulau Pinang, kata Guan Eng, tidak akan menjadi masyhur seperti hari ini sekiranya pucuk pimpinan dan rakyatnya masih kekal dengan sikap tidak berbuat apa-apa.

“Apa yang kita lihat hari ini adalah cetusan pandangan jauh pemimpin pada masa lalu yang merasakan bahawa pendirian ‘belum cuba, belum tahu’ perlu, dan sudah pastinya tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Malah, Kerajaan Negeri pada hari ini, masih berpegang kepada pendirian tersebut bagi memastikan anak cucu kita pada masa hadapan dapat menikmati langit yang cerah, lautan yang biru dan bukit yang menghijau,” ujarnya yang turut mengaitkan inisiatif Kerajaan Negeri menanam semula 16 batang pokok bagi memberi laluan terhadap projek pelebaran jalan di Jalan Masjid Negeri sebagai salah satu contoh terbaik pembangunan yang seimbang.

Tambah Guan Eng, sejak 2008, Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan keutamaan tinggi terhadap alam sekitar termasuk mengurangkan kesan alam semulajadi melalui perancangan, pelaksanaan dan kebolehlaksanaan dasar-dasar pembangunan negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak pernah membenarkan pembalakan di hutan simpan kekal di Pulau Pinang, malah tidak seinci persegi pun boleh ditebang.

“Malah, ketelusan, kebertanggungjawaban dan komitmen Kerajaan Negeri terhadap alam sekitar tidak pernah diabaikan.

“Buktinya, sejumlah 271,000 batang pokok baru ditanam di seluruh negeri sejak tahun 2008,” katanya yang turut memberi jaminan bahawa Pulau Pinang menuju ke arah sebuah negeri hijau yang sesuai didiami berlandaskan pembangunan yang mampan tanpa mengabaikan perlindungan alam sekitar.

Turut hadir pada majlis tersebut, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari serta Ketua-ketua Jabatan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.