P. Pinang salah satu destinasi pelancongan halal tumpuan – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Restoran dalam kapal persiaran mewah, Costa Victoria kini dalam proses permohonan pensijilan Halal Malaysia.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, Costa Victoria telah melengkapkan prosedur permohonan secara atas talian bagi dapur utama, dan proses penilaian seterusnya akan dilaksanakan oleh Lembaga Halal Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Objektif permohonan pensijilan Halal Malaysia ini adalah untuk memenuhi permintaan pelancong yang beragama Islam.

“Ini (permohonan) merupakan kali kedua Costa Victoria memohon pensijilan Halal Malaysia.

“Tahun lalu, restoran dalam kapal persiaran mewah ini sudahpun menerima pensijilan Halal Malaysia,” ujarnya pada sidang media di sini 9 September lalu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Datuk Sazali Hussein; Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Pulau Pinang (Halal Penang), Faizal Ibrahim dan Timbalan Pengarah Perdagangan dan Pemasaran Costa Cruises, Winnie Wong.

Turut sama, wakil-wakil dari Halal Penang, Penang Global Tourism (PGT) dan Hwajing Travel Sdn. Bhd..

Abdul Malik dalam pada itu turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Halal Penang giat melaksanakan promosi dan pembangunan industri halal melibatkan semua sektor termasuk pelancongan.

“Terkini, Halal Penang sedang menjalankan usahasama dengan beberapa agensi pelancongan di Timur Tengah untuk membawa masuk lebih ramai pelancong dari sana.

“Dan Pulau Pinang merupakan salah satu destinasi pelancongan halal yang kian meningkat dan menjadi tumpuan pelancong beragama Islam.

“Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh Costa Victoria dengan menawarkan hidangan halal di atas kapal persiaran tersebut perlu dicontohi dan dipuji.

“Bukan sahaja pelancong di Asia Tenggara, malah pelancong dari Timur Tengah kini boleh belayar di atas kapal Costa Victoria,” ujar beliau.