‘Knowledge Exchange @PPAPP’, perkongsian bahan bacaan secara percuma

SEBERANG JAYA – Di perkarangan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, asal pondok jaga ditukar guna menjadi ‘Knowledge Exchange @PPAPP’.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, tujuan penubuhan pusat berkenaan yang dilancarkan pagi ini adalah demi membolehkan pengunjung meletakkan sebarang koleksi bacaan seperti buku, majalah ataupun bahan media untuk dikongsi pengguna lain.

“Tukar guna pondok jaga menjadi Pusat Perkongsian Ilmu bakal memberi peluang kepada umum untuk kitar semula ilmu dengan menghantar bahan-bahan bacaan terpakai di sini.

“Semua buku di sini boleh dimiliki secara percuma, dan jika mahu menukar sesuatu buku dengan bahan bacaan di sini pun, tukaran bacaan adalah secara percuma juga,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baganm Jermal pada Majlis Pelancaran Program Knowledge Exchange @ PPAPP di sini 6 September 2018.

Berucap pada majlis sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), Sharimah Salleh menyatakan bahawa dengan pembukaan ‘Knowledge Exchange @PPAPP’, ia sekaligus memberi ruang untuk pentadbirannya sendiri meletakkan buku-buku sumbangan awam yang begitu banyak, untuk dimiliki oleh pengguna secara percuma.

“Kita (PPAPP) menerima sumbangan buku terlalu banyak daripada orang ramai, tapi sesetengah buku itu ada yang tidak sesuai mengikut kriteria kita untuk dijadikan koleksi perpustakaan.

“Dan kita tidak mahu ia menjadi suatu isu kelak iaitu penyumbang buku mempertikai kenapa sumbangannya tiada dalam koleksi perpustakaan, maka dengan adanya pusat ini, dapatlah dielakkan pembaziran pada lambakan bahan bacaan ini,” jelasnya.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Khong Chee Seong turut sertai majlis perasmian pelancaran berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS