MPSP tubuh Jawatankuasa Audit Fasiliti pastikan semua bangunan awam mesra OKU

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, pihaknya akan menubuhkan Jawatankuasa Audit Fasiliti bagi memastikan semua bangunan awam di Seberang Perai mempunyai kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ahli-Ahli Majlis MPSP yang mana mereka akan pergi ke bangunan-bangunan awam untuk melakukan audit dari segi keperluan OKU.

“Ia (audit) bagi memastikan semua bangunan awam seperti pejabat kerajaan, pasar raya, stesen kereta api dan lain-lain yang dilulus berpandukan Reka Bentuk Sejagat ini benar-benar wujud secara nyata seperti terkandung di dalam pelan dan bukannya sekadar hiasan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Peranan Perunding Dalam Menyediakan Reka Bentuk Sejagat Secara Inklusif dekat Hotel Ixora, di sini sebentar tadi.

Rozali menyampaikan ucapan perasmian Seminar Peranan Perunding Dalam Menyediakan Reka Bentuk Sejagat Secara Inklusif

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Sri Ar. Dr. Asiah Abdul Rahim; Arkitek Jabatan Pelaksana Projek dan Penyelenggaraan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dalilah Bee Abdullah dan Ahli Penang Accessibility Action Group (PAAG), Dr. Tiung Ling Ta.

Presiden Persatuan Orang Cacat Pulau Pinang, Datuk Teh Lay Kuan; Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU Pulau Pinang, Eric Tai Boon Seng; Pengarah Bangunan MPSP, Noorhanis Noordin serta Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP juga turut hadir.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, MPSP juga mengadakan seminar yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Agensi Pelaksana dan Prinsipal Submitting Person (PSP) di dalam merancang serta mereka bentuk bangunan berdasarkan Reka Bentuk Sejagat bagi memenuhi keperluan semua golongan termasuk OKU.

“Oleh sebab itu kita (MPSP) memainkan peranan sebagai koordinator yang menyatukan melalui penggubalan dasar, melaksanakan akta parlimen dan enakmen Kerajaan Negeri serta melaksanakan undang-undang kecil MPSP.

“Tetapi usaha ini tidak boleh hanya dalam bentuk perundangan malah harus diterjemahkan oleh arkitek dan profesional (PSP) ke dalam reka bentuk yang kemudiannya akan dilaksanakan oleh pemaju,” katanya lagi.

Justeru, beliau menzahirkan harapan agar pihak pemaju bersikap lebih profesional dengan melaksanan projek pembangunan berdasarkan pelan yang diluluskan oleh MPSP.

“Orang awam pula dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk OKU ini,” tegasnya sambil menambah penanda aras kepada pembangunan mampan adalah sekiranya golongan OKU mampu bergerak bebas dan nikmati kemudahan yang disediakan tanpa bantuan pihak lain.

Pada sidang media itu juga, Rozali turut memperkenalkan buku Panduan Ringkas Reka Bentuk Sejagat terbitan MPSP berharga RM25 yang boleh didapati di pejabat MPSP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MPSP