SUNGAI PINANG – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang yang menelan kos RM114.8 juta mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 50.86 peratus setakat September 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2027.

Menurut Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, RTB Sungai Pinang kini berjalan mengikut jadual dan pelbagai komponen utama sedang giat dilaksanakan bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Skop projek merangkumi kerja-kerja mendalam dan melebar sungai sepanjang 1.4 kilometer (km), pembinaan saliran baharu menggunakan konsep parallel drain sepanjang kira-kira satu km serta pembinaan piano weir dan rumah pam.
“Bagi sistem rumah pam, sebanyak empat unit pam akan dipasang dengan kapasiti 2,000 liter sesaat setiap satu, menjadikan jumlah kapasiti pengepaman sebanyak 8,000 liter sesaat.

“Selain itu, projek ini turut melibatkan pembinaan sistem saluran keluar air (drainage outfall) serta bangunan sokongan berkaitan,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek RTB Sungai Pinang berhampiran Balai Rakyat Jalan Patani di sini pagi tadi.
Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.
Zairil berkata, kerja-kerja pembinaan tebing baharu telah dilaksanakan di beberapa kawasan, manakala kerja cerucuk (piling) bagi pembinaan rumah pam dan piano weir juga telah dimulakan.
Mengulas mengenai tahap perlindungan yang bakal disediakan, beliau berkata, projek RTB Sungai Pinang direka untuk memberikan perlindungan banjir pada tahap Average Recurrence Interval (ARI) 100 tahun.
“Ini bukan bermakna kawasan berkenaan tidak akan mengalami banjir langsung tetapi tahap perlindungan yang lebih tinggi ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir dengan ketara.
“Pelaksanaan projek ini juga dijangka mengurangkan keluasan kawasan banjir di sebahagian lembangan Sungai Pinang serta mengurangkan kerosakan infrastruktur awam, harta benda penduduk, perumahan, sistem perhubungan dan lain-lain,” maklum beliau yang juga ADUN Tanjong Bungah.
Dalam pada itu, Zairil memberitahu bahawa projek berkenaan merupakan antara usaha jangka panjang Kerajaan Negeri yang telah diperjuangkan selama hampir 20 tahun sebelum akhirnya diluluskan dan dimulakan di bawah Kerajaan Persekutuan (MADANI).
“Kerajaan Negeri berharap projek-projek tebatan banjir ini dapat membawa manfaat kepada rakyat, meningkatkan keselesaan penduduk serta mengurangkan risiko dan kesan banjir di kawasan terlibat,” katanya.