Komitmen wakil rakyat naik taraf kemudahan keselamatan penempatan dipuji

LIM Siew Khim (dua dari kiri) diiringi R.S.N. Rayer (kiri sekali) menerima plak penghargaan daripada wakil Perbadanan Pengurusan Pinang Court 2 di sini pada pagi ini.

 

SUNGAI PINANG – Perbadanan Pengurusan Pinang Court 2 dekat Bandar Baharu Sungai Pinang memuji inisiatif bersama dengan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat, Lim Siew Khim serta Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dalam meningkatkan tahap keselamatan penduduk di kawasan kediaman rumah pangsa mereka di sini.

LIM Siew Khim

Pengerusinya, Mohd. Firdaus Abdul Wahab memberitahu bahawa kerja-kerja menaik taraf pagar sepanjang 347.78 meter (m) di kawasan kediaman berstrata berkenaan keseluruhan menelan belanja RM120,830.

“Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP) membiayai 60 peratus kos tersebut iaitu RM72,498, sementara baki RM48,332 (40 peratus lagi) sepatutnya dibiayai oleh perbadanan pengurusan.

“Tetapi, kami (perbadanan pengurusan) hanya mengeluarkan RM28,332 sahaja kerana RM20,000 disumbangkan oleh ADUN Sungai Pinang (Siew Khim).

“Mewakili seluruh penduduk di 424 unit kediaman berstrata di kedua-dua blok Pinang Court 2 ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen YB (Siew Khim), juga YB Rayer kerana terus berusaha meningkatkan kemudahan keselamatan yang kami perlukan di sini,” jelasnya dalam majlis ringkas di sini pada 18 April 2021.

Difahamkan, kerja-kerja penarafan projek tersebut bermula pada pertengahan bulan September 2020 dan siap pada Disember tahun yang sama.

R.S.N. Rayer

Sementara itu. Siew Khim memberitahu pihaknya turut komited untuk membantu perbadanan pengurusan memohon TPM80PP untuk menaik taraf baki projek pagar kawasan berstrata tersebut, yang dianggarkan panjang kira-kira 250m.

“Pagar lama sebahagiannya runtuh dan selalu saya mendapat aduan bahawa di sini kerap berlaku pencerobohan dan kes curi komponen motosikal.

“Jadi, projek penarafan sebahagian pagar di sini dilaksanakan sebagai simbol komitmen bersama untuk mengutamakan aspek keselamatan penduduk, terutama golongan wanita dan kanak-kanak,” jelasnya lagi kepada pemberita selepas melawat tapak projek penarafan yang telah siap sepenuhnya itu.

Manakala, Rayer semasa berucap turut menyatakan komitmen membantu perbadanan pengurusan bagi mendapatkan RM5,000 peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk cadangan naik taraf baki kawasan berpagar sedia ada di sini.

Beliau berkata pihaknya akan memberi wang pendahuluan sejumlah RM5,000 kepada perbadanaan pengurusan terlebih dahulu, sementara menunggu permohonan peruntukan berwajib diproses oleh ICU.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN