Kompleks Jln. Permai, tempat semula peniaga tanpa lesen – Exco

Oleh :ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MARK JAMES

SERI DELIMA – Exco Kerajaan Tempatan , Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Pasar dan Kompleks Makanan Jalan Permai, Gelugor bernilai RM5 juta di sini dijangka siap pada akhir April ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di kawasan pemajuan, bersama-sama wakil pemaju, Tetuan Nuwata Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat BSG Hartanah.

Menurut beliau , kompleks tersebut akan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk penempatan semula penjaja berwajib serta penjaja tanpa lesen sekitar Gelugor.

“ Tujuan utama kompleks ini dimajukan adalah untuk menempatkan semula peniaga dan penjaja tanpa lesen di sekitar Gelugor,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Tambah Kon Yeow, kadar sewa bulanan yang dicadangkan bagi tiap-tiap lot gerai adalah RM350, tidak termasuk caj 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Difahamkan, kompleks tersebut terdiri oleh 58 lot pasar serta 23 gerai makan dan minum dilengkapi dengan kemudahan tandas awam serta parkir.

Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Jabatan Pelesenan MBPP, Azman Sirun memberitahu, majlis telah menerima kira-kira 400 pemohonan pada sesi temuduga kali pertama baru-baru ini dan 11 penjaja berwajib sekitar Gelugor telahpun diberikan tawaran untuk menyewa di kompleks yang baru itu.

Dalam pada itu, arkitek projek, Teng Pee Yang memberitahu bahawa, pihaknya turut membuat akses khas untuk membeli atau menghantar barang ke lot-lot gerai yang menjual makanan tidak halal.

Dalam perkembangan sama, pemaju turut membina taman mini yang dikenali sebagai “Raffel Park” di atas sebidang tanah dekat Jalan Permai 5 di sini, sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada MBPP dan komuniti.

“Di sini, terdapat kemudahan seperti trek pecut sepanjang 50 meter, joging, laluan berbasikal, gelanggang bola keranjang, taman permainan kanak-kanak, kawasan tempat duduk dan rehat berlindung,” ujar Pee Yang.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);