Kompleks Penjaja Industri Ringan Asasjaya ‘baru’ sedia 52 tapak sewa, sesi temuduga Okt. – YDP MPSP

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud mengumumkan pembukaan 52 tapak gerai tertutup di Kompleks Penjaja Industri Ringan Asasjaya dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), dengan kadar sewa bulanan pada kadar RM144.

Menurut beliau, kompleks bernilai RM4.1 juta itu siap dibina pada 9 Mei tahun lepas dan diserahkan kepada pengurusan MPSP pada 8 Februari lalu.

“Kompleks ini mula dibina pada tahun 2015 oleh pemaju Asas Dunia Sdn. Bhd. sebagai satu syarat yang dikenakan oleh MPSP untuk menjalankan aktiviti pemajuan pembangunan di sekitar kawasan Asasjaya.

“Secara rasminya, kompleks ini dibuka untuk sewaan kepada orang awam atau peniaga,” katanya dalam sidang media, selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini 27 Ogos 2018.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmood serta barisan Ahli Majlis bagi MPSP lain.

Jelas Rozali, iklan kekosongan gerai dibuka mulai bulan September 2018, manakala sesi temuduga khas dijadual Oktober ini.

Info lanjut, layari sesawang rasmi MPSP, www.mpsp.gov.my atau hubungi Jabatan Pelesenan di talian 04-5497680.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD