Keutamaan tindakan terhadap pesalah tegar memiliki lebih 10 kompaun parkir tertunggak – YDP MPSP

SEBERANG JAYA – Pesalah yang gagal membayar kompaun tertunggak setelah tamat promosi pengurangan kompaun letak kereta sempena Sambutan Hari Majlis 2018 baru-baru ini berisiko dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk rujuk mereka ke mahkamah.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, pentadbirannya buat kali pertama mengadakan promosi pengurangan kompaun selama sebulan, mulai 28 Julai hingga 27 Ogos 2018, iaitu hari ini.

“MPSP memandang serius kompaun-kompaun yang tertunggak dan tindakan yang tegas akan diambil selepas tamat tempoh promosi ini.

“Ini adalah kerana tempoh yang sewajarnya telah diberikan kepada semua pesalah untuk membayar, dan mereka masih lagi ingkar untuk berbuat demikian,” tegasnya dalam sidang media, selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis dekat Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini tengah hari tadi.

Turut serta, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis bagi MPSP lain.

Menurut Rozali, sehingga 23 Ogos 2018, sebanyak 10,258 kenderaan yang telah direkodkan mempunyai melebihi 10 kompaun.

“Bagi pesalah yang mempunyai 10 kompaun ke bawah, mereka tidak akan terlepas daripada dihadapkan ke mahkamah.

“Keutamaan tindakan akan diberikan kepada pesalah tegar yang mempunyai lebih daripada 10 kompaun tertunggak,” tegasnya.

Menjawab soalan pemberita, Rozali menyatakan bahawa sejumlah 29,305 kompaun parkir telah dibayar oleh pesalah dalam tempoh tiga minggu promosi, namun sebanyak 741,862 kompaun tertunggak lain masih dalam rekod pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD