Komuniti PPR Desa Wawasan, pertama terima kontrak pembersihan

Admin

PADANG LALANG – Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan melakar sejarah apabila menjadi komuniti PPR pertama dianugerahkan kontrak pembersihan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kontrak bernilai RM210,692 itu adalah bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan berkaitan selama setahun mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Mei 2021.

“Ini merupakan kali pertama kontrak pembersihan diberikan kepada komuniti PPR kerana biasanya kita menganugerahkan kontrak ini kepada syarikat kontraktor daripada luar.

“Sebab utama kita anugerahkan kontrak ini kepada komuniti PPR Desa Wawasan adalah kerana penduduk di sini telah menunjukkan contoh yang sangat baik daripada segi penjagaan kebersihan persekitaran.

“Justeru, kami bercadang untuk menjadikan PPR Desa Wawasan sebagai contoh kepada PPR lain di negeri ini dan mengubah persepsi negatif dalam kalangan masyarakat mengenai tahap kebersihan di projek perumahan kos rendah.

“(Dan) sekiranya penduduk PPR Desa Wawasan berjaya melaksanakan kerja-keja pembersihan maka Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif ini pada tahun-tahun berikutnya,” katanya pada majlis penyerahan kontrak pembersihan kepada Jawatankuasa Komuniti PPR Desa Wawasan, di sini semalam.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng serta Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

Sementara itu, Chong Eng memberitahu bahawa penganugerahan kontrak kepada komuniti Desa Wawasan dilaksanakan melalui kerjasama antara Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan PWDC di bawah program Bajet Penyertaan Rakyat dan Responsif Gender (GRPB).

“Melalui GRPB, objektif utamanya adalah untuk memenuhi keperluan penduduk PPR Desa Wawasan melalui penglibatan masyarakat di sini demi meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Malah, penganugerahan kontrak ini juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di sini di samping menjaga kebersihan persekitaran kerana mereka sendiri yang akan melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Bagi tujuan ini, persatuan penduduk telah melantik 11 pekerja yang terdiri daripada penduduk di sini. Oleh itu, saya berharap agar langkah ini dapat menanam rasa tanggungjawab dalam diri penduduk di sini untuk menjaga tempat tinggal mereka,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memaklumkan bahawa kerja-kerja pengecatan semula PPR Desa Wawasan yang dimulakan pada Jun tahun lepas telah siap kira-kira 94 peratus.

“Kerja-kerja pengecatan semula yang menelan belanja kira-kira RM1.62 juta diharap dapat diselesaikan sepenuhnya dalam dua minggu akan datang,” ujarnya lagi.

Beliau juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM250.3 juta sejak 2008 hingga kini bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan melibatkan perumahan awam, perumahan di bawah seliaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan projek perumahan swasta yang layak.

“Antara projek-projek penyelenggaraan yang dilaksanakan adalah termasuk pengecatan semula, penggantian lif, pembaikan bumbung, penggantian pagar, pendawaian, paip air serta banyak lagi.

“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan infrastruktur perumahan yang lebih kondusif serta selesa untuk kesejahteraan rakyat,” jelasnya lagi.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM20.76 juta kepada Pulau Pinang untuk kerja-kerja penyelenggaraan di perumahan awam dan swasta bagi tahun ini.

“Peruntukan disalurkan melalui tiga program utama iaitu Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) yang melibatkan 11 projek dengan kos RM9.5 juta, Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) melibatkan 12 projek bernilai RM5.5 juta dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).

“Di bawah TPPM, lebih daripada RM2.4 juta diperuntukkan untuk 10 projek di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan lebih RM3.3 juta diperuntukkan untuk 19 projek di bawah MBSP,” ujarnya.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF