Kon Yeow perincikan impak kenaikan Cukai Taksiran dalam Ringgit

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini memperincikan impak di sebalik kenaikan cukai taksiran meliputi empat daripada 16 kategori harta tanah bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurut beliau, 15,049 unit kediaman bertanah jenis kos rendah (KR) bagi kawasan MBSP menanggung kadar kenaikan cukai taksiran kurang daripada RM30, begitu juga kurang RM5 kenaikan kadar cukai taksiran bagi 404 unit kediaman kategori sama bagi kawasan MBPP

“Saya fikir kebanyakan bantahan tidak berdasarkan penilaian (hartanah)…tapi dalam fikiran saya, Kerajaan akan berusaha untuk mengurangkan kesan berantai di sebalik kenaikan ini supaya mampu (tanggung).

“Kalau kita rangkumkan semua unit Kediaman Bertanah KR dan KSR (Kos Sederhana Rendah) bagi kawasan MBPP ada 1,795 unit, 100 peratus unit kediaman bagi kategori ini akan dikenakan kadar kenaikan cukai (taksiran) kurang daripada RM33.

“Sebenarnya kebanyakan pun (jenis hartanah Kediaman Bertanah KR menanggung kadar kenaikan cukai taksiran) kurang daripada RM10.

“Golongan B40, saya fikir tidak akan menanggung kesan berantai yang begitu besar,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media di Komtar pada 2 Oktober 2019.

Beliau turut mengalu-alukan reaksi awam kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum cadangan pelaksanaan kadar baharu cukai taksiran pada 1 Januari 2020.

“Kita lihat bantahan itu, setelah proses pendengaran, Pihak Berkuasa (Negeri) wajib buat keputusan.

“Sekarang, bukan masanya buat keputusan (untuk menilai semula kadar kenaikan dan impak)… selepas mendapat bantahan, perlu buat proses pendengaran, sebab senarai ini perlu dikuatkuasa pada 1 Januari 2020.

“Apa sahaja perubahan yang perlu dibuat, perlu dibuat sebelum tarikh itu (1 Januari 2020),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan beberapa Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang turut sertai sidang media tersebut.

Terdahulu, Kon Yeow memberitahu bahawa kenaikan cukai taksiran sedia ada yang tidak disemak sejak 15 tahun lalu dijamin tidak akan membebankan golongan isi rumah pendapatan 40 peratus paling rendah (B40) terutama mereka yang mendiami rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR).

Beliau memberi penjelasan isu susulan dipertikai oleh beberapa pihak pemegang taruh di negeri ini berhubung hasrat Kerajaan Negeri menaikkan sehingga 30 peratus cukai taksiran, mulai tahun hadapan.

Rujuk dua Jadual Perincian Impak Cukai Taksiran Mengikut Kategori Harta Tanah Bagi MBPP dan MBSP, seperti di bawah:-

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD